Apabila beg yang mencurigakan berhampiran lif di tempat letak kereta Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat mendapat perhatian seorang pengawal keselamatan, beliau bertindak pantas, mengepung kawasan itu dan memastikan pelajar berada pada jarak yang selamat.
Kekacauan tercetus apabila seorang lelaki tiba-tiba menyambar beg tersebut dan meluru ke arah pelajar, sebelum ‘meletupkan’ kandungannya, yang merupakan bahan letupan.
Akibatnya, kawasan itu dipenuhi asap, dengan diselang-selikan jeritan pelajar yang ‘tercedera’.
Senario yang dipaparkan dan disaksikan sendiri oleh wartawan Berita Harian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada Latihan Heartbeat, satu latihan simulasi serangan pengganas dan persediaan menghadapi kecemasan yang dijalankan di kampus ITE itu pada 18 November.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyaksikan latihan itu – yang kedua seumpamanya pada 2024, selepas satu latihan serupa pada Ogos – bersama media.
“Latihan itu adalah peringatan dan peluang tepat pada masanya untuk pihak berkepentingan dan pemilik bangunan untuk sentiasa menyemak langkah keselamatan mereka, mengesahkan protokol dan meningkatkan kesediaan menghadapi kecemasan terhadap kemungkinan serangan pengganas,” jelas Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada 18 November.
Dengan kerjasama Home Team dan masyarakat, latihan itu bertujuan meningkatkan persediaan masyarakat dalam menangani serangan pengganas di bawah gerakan SGSecure.
Dalam latihan itu, pasukan Tindak Balas Darat SPF adalah yang pertama ‘tiba’ di lokasi, diikuti pegawai daripada Pasukan Tindak Balas Kecemasan yang ‘menewaskan’ dua lelaki bersenjata di tempat letak kereta tersebut.
Sebaik sahaja tempat kejadian disahkan selamat, paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dikerahkan untuk menghampiri dan mengeluarkan mangsa dengan kawalan keselamatan oleh polis.
Mereka turut menyediakan pusat rawatan awal untuk merawat pelajar yang ‘tercedera’ sebelum dihantar ke hospital.
Bahagian kedua latihan itu menyaksikan polis beraksi menyerbu dan menewaskan dua lagi pengganas yang menjadikan pelajar sebagai tebusan di dewan serba guna kampus ITE tersebut.
Mengulas latihan tersebut, Dr Faishal berkata:
“Latihan Heartbeat ini menyaksikan Divisyen Polis Jurong bekerjasama dengan ITE Kolej Barat untuk menjalankan latihan simulasi dalam kawasan sekolah, bagi memastikan belia kita sentiasa berwaspada terhadap ancaman pengganasan dan sedar akan peranan yang boleh mereka mainkan apabila kejadian seperti itu berlaku.
“Semua orang memainkan peranan penting dalam memerangi keganasan,” tambah beliau.
Latihan itu melibatkan sekurang-kurangnya 40 peserta, terdiri daripada pegawai SPF, SCDF, pelajar dan lima sukarelawan Kelab Lionhearters.
Dianjurkan oleh SPF dengan sokongan SCDF, ia diadakan dengan kerjasama rapat ITE Kolej Barat dan pemilik premisnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg