Pengawasan masyarakat terbukti berkesan dalam meningkatkan pandangan tentang keselamatan, mengurangkan kadar jenayah dan menambah kepercayaan orang ramai terhadap penguatkuasaan undang-undang.
Namun, ia juga mesti menyesuaikan diri dan bergerak ke ruang dalam talian.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata Pasukan Polis Singapura telah memulakan beberapa inisiatif pengawasan polis dalam masyarakat untuk mendapatkan bantuan orang ramai bagi menangani isu seperti jenayah siber dan penipuan, lapor The Straits Times.
Langkah itu termasuk program baru, Cyber Guardians on Watch, yang mempunyai lebih 12,000 anggota setakat Julai 2024.
Sukarelawan meronda ruang siber untuk kegiatan yang berpotensi menjadi jenayah dan memaklumkan polis.
Mereka turut melaporkan kegiatan yang disyaki ada unsur jahat kepada wadah-wadah digital.
“Anggota Cyber Guardians on Watch datang daripada semua lapisan masyarakat untuk melindungi ruang siber kita.
“Para anggota akan menerima maklumat berkaitan jenayah siber yang disasarkan, makluman dan nasihat daripada polis.
“Mereka boleh membantu untuk menguatkan mesej tersebut dengan berkongsi maklumat tersebut dengan keluarga dan rakan mereka,” kata Cik Sun, semasa berucap di Persidangan Pengawasan Masyarakat Sejagat 2024, pada 21 Ogos.
Acara julung-julung kali itu diadakan di hotel Amara Singapore di Tanjong Pagar.
Ia menyaksikan 200 peserta daripada pasukan polis sejagat, agensi pemerintah tempatan dan pertubuhan sektor swasta.
Mereka termasuk pegawai pasukan polis di Rwanda, Belanda, Hong Kong dan Amerika Syarikat, yang dijadual menyertai seminar selama tiga hari mulai 21 Ogos.
Cik Sun berkata pengawasan dalam masyarakat telah menjadi sebahagian daripada pendekatan polis Singapura sejak 1980-an.
Dengan menyesuaikan model ‘Koban’ Jepun, Singapura memperkenalkan Pondok Polis Kejiranan (NPP) pada 1983.
“Dengan NPP yang terletak di kawasan perumahan, pegawai polis dapat menganjurkan program pengawasan kejiranan dan ceramah pencegahan jenayah dengan melibatkan penduduk dan menangani kebimbangan mereka.
“Daya utama ini telah memupuk hubungan yang lebih erat antara polis dengan penduduk, menyumbang kepada penurunan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan orang ramai,” tambahnya.
Pengawasan masyarakat telah berkembang selama bertahun-tahun untuk mewujudkan Pusat Polis Kejiranan (NPC).
Terdapat juga skim konstabel khas sukarela, yang terdiri daripada relawan yang berkhidmat seiring pegawai polis biasa.
Cik Sun berkata pengawasan masyarakat juga boleh memainkan peranan penting dalam menangani ancaman pengganasan, serta kesan daripada serangan.
Pada 2016, Singapura melancarkan gerakan SGSecure untuk menyedarkan, melatih dan menggerakkan masyarakat untuk memainkan peranan mencegah dan menangani serangan pengganasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg