Dalam usaha untuk mendapatkan penjelasan dan pengetahuan tentang agama, umat Islam harus terus mendapatkan nasihat daripada Mufti dan asatizah bertauliah, dan tidak bergantung semata-mata kepada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, kata Penasihat AI Singapura, Profesor Yaacob Ibrahim.
Berkongsi keprihatinannya dengan Berita Harian (BH) mengenai penggunaan beretika AI dan teknologi pada zaman kini, Dr Yaacob berkata bahawa bergantung semata-mata pada platform sumber terbuka seperti ChatGPT dan Google untuk ilmu agama boleh membawa kepada masalah besar.
“Itu berbahaya kerana kita tahu apabila kita menggunakan ChatGPT atau Google, sumber data yang mereka gunakan adalah daripada Internet.
“Dan kita tahu bahawa di Internet, bukan hanya maklumat yang betul, malah maklumat yang salah, yang berbahaya pun ada.
“Jadi kalau kita ingin gunakan satu enjin carian atau platform AI, kita mesti menentukan bahawa wadah tersebut menggunakan maklumat yang sahih,” kata Dr Yaacob, yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan dari 2011 hingga 2018.
Pada 3 Julai, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata dengan perkembangan teknologi dan media sosial hari ini, kuasa kepimpinan agama boleh beralih secara beransur-ansur, dan mungkin tidak melihat kepada kepimpinan agama sebagai rujukan.
Justeru, beliau berkata amat penting bagi Singapura memperkasa kepimpinan agama agar terus menjadi rujukan utama masyarakat.
“Kalau dahulu umat Islam merujuk kepada pakar agama, guru agama, asatizah dan ulama, menghormati para ulama, yakin dengan ilmu dan nasihat mereka.
“Sekarang mereka boleh pintas dengan begitu cepat dan mudah dengan wujudnya pelbagai teknologi yang membolehkan rujukan yang lebih cepat dan langsung,” kata Mufti.
Dr Yaacob berkata satu cara untuk memastikan masyarakat Islam boleh mendapatkan sumber agama yang sahih menerusi AI dan teknologi adalah untuk membangun sebuah “ChatGPT Islam” bersandarkan data sahih dan pangkalan data tertutup.
“Mungkin kita boleh membangunkan ChatGPT untuk Dunia Islam. Tetapi pangkalan datanya, kita rujuk kepada Al-Quran, penterjemah Al-Quran, hadis dan sumber-sumber sahih.
“Ia bermakna apabila seseorang membuat carian menggunakan wadah tersebut, sumber datanya sahih – lebih mudah dan selamat untuk mencari fatwa, umpamanya. Ini sesuatu yang Dunia Islam boleh teroka.
“Tapi pokoknya, dari segi pendidikan agama dan mencari ilmu, lebih penting kita kembali rujuk kepada Mufti dan asatizah bertauliah,” kata Dr Yaacob.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg