Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan perkukuh geran, biasiswa demi pupuk bakat penyelidik tempatan, sejagat

Swee Keat: Sains bersifat sejagat, penting untuk tidak pecah belah aliran penyelidikan berbeza di seluruh dunia
Jan 6, 2026 | 8:07 PM
Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Heng Swee Keat, Sidang Puncak Saintis Muda Global (GYSS) 2026
Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, memberi ucapan dalam majlis pembukaan Sidang Puncak Saintis Muda Global (GYSS) 2026 di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 6 Januari. - Foto ST

Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) akan memperkukuh lagi portfolio geran penyelidikan dan biasiswa bagi kajian berisiko tinggi untuk memupuk dan menarik bakat penyelidik tempatan dan sejagat yang terkemuka dan berpotensi, kata pengerusinya, Encik Heng Swee Keat.

Berucap dalam majlis pembukaan Sidang Puncak Saintis Muda Global (GYSS) 2026 pada 6 Januari, beliau menambah, yayasan itu juga akan terus membina hubungan baru dan memperdalami hubungan yang wujud kini dalam kalangan penyelidik di Singapura dan masyarakat saintifik sejagat.

“Kecemerlangan dalam penyelidikan pada dasarnya adalah mengenai usaha membangunkan dan mengumpulkan bakat terbaik dari Singapura dan di seluruh dunia untuk menangani cabaran yang paling kritikal,” kata beliau dalam majlis yang diadakan di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

Encik Heng menambah, sains bersifat sejagat, dan adalah penting untuk tidak memecahbelahkan aliran penyelidikan yang berbeza di seluruh dunia.

“Sebaliknya, kita harus berusaha mengumpulkan minda yang terbaik untuk menangani cabaran bersama manusia.

“Kedua-dua persaingan dan kerjasama mempunyai tempatnya – kita harus bersaing untuk membina puncak kecemerlangan yang tersendiri, dan bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran bersama, agar dapat menjaga kehidupan di bumi dan planet kita yang rapuh ini dengan lebih baik,” kata beliau.

Lebih 400 penyelidik muda dari 57 negara mengambil bahagian dalam GYSS 2026, yang berlangsung dari 5 hingga 9 Januari – jumlah peserta tertinggi sejak sidang kemuncak anjuran NRF itu dimulakan pada 2013.

Sidang itu memberi peluang kepada generasi pemimpin saintifik tempatan dan luar negara, yang ada kini dan seterusnya, berinteraksi dengan saintis terkemuka, termasuk pemenang Hadiah Nobel.

Edisi kali ini menampilkan 20 kuliah pleno, empat perbincangan panel interaktif dan lebih 10 sesi sembang kumpulan kecil, yang meliputi pelbagai bidang saintifik daripada teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI) hingga kepada neurosains dan kimia.

Encik Heng berkata AI dan pembelajaran mesin, pengkomputeran kuantum dan penyelidikan antara disiplin akan membentuk sains pada masa depan.

Pada Disember 2025, diumumkan Singapura telah memperuntukkan sebanyak $37 bilion untuk landskap penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara sepanjang lima tahun akan datang.

Ini dengan matlamat menjamin masa depan negara sebagai hab teknologi mendalam atau deep tech sejagat serta mencari huraian bagi cabaran yang dihadapi.

Teknologi mendalam adalah yang berasaskan penyelidikan saintifik atau kejuruteraan yang mendalam, biasanya memerlukan masa yang panjang untuk dibangunkan tetapi mempunyai potensi dan kesan besar terhadap industri dan masyarakat.

Rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 itu akan memanfaatkan R&D untuk menyokong keutamaan ekonomi dan nasional, dengan tumpuan khusus kepada usaha memastikan penduduk kekal sihat dan cergas minda, sejajar trend penuaan penduduk negara ini.

Dua program penyelidikan peringkat tinggi akan dilancarkan – yang pertama, sebuah program utama atau perdana sulung yang memberi tumpuan kepada bidang semikonduktor bagi mengukuhkan kelebihan strategik Singapura dalam rantaian bekalan semikonduktor sejagat.

Ini selain program bagi menangani cabaran utama berkaitan usaha mencapai usia panjang yang sihat dan cerdas, termasuk melambatkan permulaan kemerosotan kognitif dan hilangnya fungsi jasmani dalam kalangan warga emas.

Secara selari, Encik Heng berkata NRF akan membangunkan keupayaan dan prasarana yang diselaraskan dengan baik dalam AI, data dan pengkomputeran lanjutan, untuk mendorong penyelidikan dan inovasi canggih.

“Selain itu, dalam RIE 2030, NRF akan melaksanakan pelan pembiayaan jangka panjang untuk mengekalkan dan mempertingkatkan prasarana penyelidikan penting kita, untuk memastikan saintis kita mempunyai akses kepada alat dan kemudahan canggih yang diperlukan bagi penyelidikan yang berdaya saing di peringkat sejagat,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg