Singapura berdepan satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 dengan bilangan kes di sini bertambah hampir seganda pada awal Mei.
Namun, pihak berkuasa berkata keadaan jangkitan di sini masih terkawal dengan sistem penjagaan kesihatan mampu menampung jumlah pesakit yang meningkat.
Buat masa ini, tiada rancangan melaksanakan sebarang langkah pengurusan selamat (SMM) di Singapura kerana Covid-19 dianggap penyakit endemik, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Berdasarkan anggaran Kementerian Kesihatan (MOH), jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 25,900 pada minggu 5 hingga 11 Mei, berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.
Dalam tempoh yang sama, purata bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 turut meningkat daripada 181 kes kepada 250 kes.
Purata kes harian yang perlu dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) kekal rendah iaitu tiga kes berbanding dua kes pada minggu sebelumnya.
Lebih dua pertiga kes jangkitan Covid-19 ini disebabkan varian KP.1 dan KP.2 kata MOH.
Menurut kenyataan MOH pada 18 Mei, varian KP.1 dan KP.2, yang bercabang daripada varian JN.1 adalah varian Covid-19 yang paling tersebar luas di peringkat sejagat dan ia sedang memantau dengan teliti gelombang jangkitan terkini itu.
Ketika menemui media setelah menghadiri Seminar Tinjauan Masyarakat (CIR) anjuran AMP Singapura pada 18 Mei, Encik Ong berkata sejauh ini, tiada bukti menunjukkan bahawa dua varian tersebut lebih berbahaya daripada varian terdahulu.
Menurut Encik Ong, sistem penjagaan kesihatan setempat masih mampu menanggung bilangan pesakit pada masa ini.
“Ia bukan masalah besar bagi hospital – pesakit Covid-19 ada sekitar 250 – sesuatu yang boleh kami tangani, tetapi kami berada di bahagian permulaan gelombang dan ia semakin meningkat.
“Saya jangka gelombang ini akan sampai ke kemuncaknya dalam masa dua hingga empat minggu akan datang iaitu antara pertengahan dengan hujung Jun,” kata Encik Ong.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa sistem penjagaan kesihatan perlu bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.
MOH berkata untuk melindungi kapasiti katil di hospital dan sebagai langkah berjaga-jaga, hospital awam telah diminta supaya mengurangkan kes pembedahan elektif yang tidak mendesak dan memindahkan pesakit yang sesuai ke kemudahan penjagaan, seperti Kemudahan Penjagaan Peralihan atau dibenarkan pulang ke rumah melalui khidmat, Mobile Inpatient Care@Home.
Buat masa ini, tiada sebarang rancangan untuk mengenakan sebarang sekatan sosial atau langkah sementara, kata Encik Ong.
“Kami mahu menganggap Covid-19 sebagai penyakit endemik. Kita mahu dapat hidup secara normal walau sedang melalui gelombang baru,” ujarnya.
Namun, beliau menyeru mereka yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 dalam 12 bulan lalu agar berbuat demikian. Ini lebih-lebih lagi bagi golongan lebih terdedah seperti warga emas.
“Jangan tunggu sehingga gelombang berada di puncaknya, anda mula melihat orang jatuh sakit, masuk hospital, baru anda nak dapatkan vaksin. Agak lewat.
“(Vaksinasi) akan sangat melindungi anda daripada dijangkiti dan ia akan mengurangkan risiko anda daripada memerlukan rawatan hospital jika anda dijangkiti Covid-19,” tambah beliau.
Vaksinasi Covid-19 kekal percuma bagi penduduk Singapura yang layak.
MOH berkata ia akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui telefon bimbit kepada individu yang belum mengambil sebarang vaksinasi Covid-19 dalam tempoh 12 bulan lalu, bagi mengingatkan mereka supaya mendapatkannya.
Orang ramai boleh merujuk ke pautan, https://gowhere.gov.sg/vaccine, bagi lokasi vaksinasi terdekat dan jenis vaksin yang ditawarkan di setiap tempat.
Sementara itu, orang ramai diingatkan agar melaksanakan tanggungjawab sosial termasuk menjaga kebersihan peribadi, mengurangkan interaksi sosial dan memakai pelitup ketika rasa kurang sihat.
“
“Ia bukan masalah besar bagi hospital – pesakit Covid-19 ada sekitar 250 – sesuatu yang boleh kami tangani, tetapi kami berada di bahagian permulaan gelombang dan ia semakin meningkat. Saya jangka gelombang ini akan sampai ke kemuncaknya dalam masa dua hingga empat minggu akan datang iaitu antara pertengahan dengan hujung Jun.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg