Seluruh ekosistem penjagaan kesihatan kini bergerak pantas untuk melengkapkan jururawat dengan kemahiran baharu dan menyediakan mereka untuk peranan masa hadapan, memandangkan pesakit semakin berusia dan lebih ramai menerima penjagaan paliatif di hospis, rumah penjagaan, hospital dan di rumah sendiri.

Salah satu inisiatif, yang diusahakan pada Januari (2026), ialah Kumpulan Kerja Pembangunan Profesional Jururawat Rumah Penjagaan. 

Ia menghimpunkan pemimpin jururawat daripada rumah penjagaan, hospital masyarakat dan hospital penjagaan akut untuk mendorong pembangunan kemahiran dalam sektor penjagaan jangka panjang.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan inisiatif itu pada majlis Anugerah Merit Jururawat (NMA) yang diadakan di Hotel Shangri-La Singapore pada 6 Julai.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata walaupun kementeriannya telah menetapkan sasaran untuk melatih 10,000 jururawat dan pekerja kesihatan dalam penjagaan paliatif menjelang 2030, “gerakan peningkatan kemahiran ini jauh lebih besar daripada yang dijangkakan”.

“Semasa lawatan saya baru-baru ini ke Hospital Universiti Nasional (NUH), saya mendapati hospital itu sahaja menyasarkan untuk melatih 3,100 jururawat dalam penjagaan paliatif am (penjagaan paliatif asas yang diberikan jururawat am dengan pengetahuan asas tentang pengurusan gejala dan sokongan pesakit, tetapi bukan pakar khusus dalam bidang paliatif) dan sesetengah institusi telah menubuhkan program latihan dalaman untuk melengkapkan jururawat mereka dengan kemahiran am ini,” katanya.

Beliau menambah beberapa institusi penjagaan kesihatan awam sedang membantu melatih jururawat di rumah penjagaan dalam penjagaan akhir hayat, perancangan penjagaan awal dan pelan penjagaan pilihan.

“Kejayaan perjalanan transformasi ini bukan hanya bergantung pada dasar atau program, tetapi lebih penting lagi pada manusia – pada jururawat yang bersedia mengambil peranan baharu, membina kemahiran baharu dan mengetuai perubahan,” katanya.

Beliau memetik contoh satu pasukan penjagaan kesihatan yang menunaikan hasrat seorang warga emas yang nazak untuk menghabiskan saat akhirnya di rumah, walaupun berdepan cabaran logistik.

Ini, katanya, satu contoh peranan kejururawatan yang terus berkembang seiring populasi Singapura yang semakin menua. 

“Jururawat berada di tengah-tengah perubahan ini, membantu membentuk apa yang akan menjadi sistem ini kelak. Semakin lama, jururawat perlu bertindak lebih awal, lebih dekat dengan rumah, dengan lebih yakin dan berautonomi, dan yang paling penting, dengan penuh kasih sayang dan empati,” katanya.

Lebih 150 jururawat daripada institusi penjagaan kesihatan awam, sektor penjagaan masyarakat dan hospital swasta menerima NMA daripada Encik Ong.

Seorang pengurus jururawat di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Encik Vinod Rajandran Muthu, 32 tahun, pada mulanya mahu menjadikan kejururawatan sebagai batu loncatan untuk kerjaya bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

“Keadaan itu berubah semasa salah satu sesi penempatan klinikal saya, apabila saya berinteraksi setiap hari dengan seorang pesakit yang saya jaga. Saya sedar kejururawatan jauh lebih daripada sekadar merawat penyakit atau menjalankan prosedur klinikal.

“Ia tentang diri kita yang hadir untuk pesakit pada detik paling rentan dalam kehidupan mereka, dan memberikan perubahan yang bermakna menerusi belas kasihan, empati dan hubungan sesama manusia,” jelasnya.

Seorang penerima anugerah tersebut ialah Pengurus Jururawat dari Poliklinik Universiti Nasional (NUP), Cik Saqila Ismail. Apabila Poliklinik Bukit Panjang dibuka pada 2021, beliau menyedari ibu baharu berdepan cabaran besar dalam menyusukan anak tanpa sokongan yang mudah diakses.

Cik Saqila, 41 tahun, mengetuai perkhidmatan sokongan laktasi atau penyusuan susu ibu di poliklinik tersebut. Perkhidmatan ini memberi bantuan awal dan pantas untuk masalah penyusuan yang biasa dihadapi seperti bekalan susu yang rendah, masalah bengkak susu dan bayi yang mengalami kesukaran untuk melekap ketika menyusu.

Memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan sokongan ini menjadi semakin jelas, beliau telah membina satu program berstruktur untuk melatih dan membangun jururawat sebagai perunding laktasi bertauliah lembaga antarabangsa.

“Matlamat kami adalah menjadikan sokongan penyusuan ibu yang khusus, lebih mudah diakses dalam penjagaan asas agar para ibu dapat menerima bantuan awal, meneruskan penyusuan dengan yakin, dan menikmati pengalaman pascakelahiran yang lebih positif,” ujarnya.