Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: S’pura akan tambah bilangan poliklinik

Pemerintah juga akan naik taraf klinik doktor keluarga privet
Oct 7, 2024 | 8:10 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (enam dari kiri) bersama Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (tiga dari kiri); Encik Desmond Tan (empat dari kiri); Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean (lima dari kiri); Dr Janil Puthucheary (empat dari kanan); dan Cik Yeo Wan Ling (tiga dari kanan) semasa melancarkan pembukaan pembangunan semula Poliklinik Pasir Ris pada 7 Oktober. Turut hadir ialah pengerusi SingHealth Encik Cheng Wai Keung (lima dari kanan).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (enam dari kiri) bersama Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (tiga dari kiri); Encik Desmond Tan (empat dari kiri); Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean (lima dari kiri); Dr Janil Puthucheary (empat dari kanan); dan Cik Yeo Wan Ling (tiga dari kanan) semasa melancarkan pembukaan pembangunan semula Poliklinik Pasir Ris pada 7 Oktober. Turut hadir ialah pengerusi SingHealth Encik Cheng Wai Keung (lima dari kanan). - Foto ST

Singapura akan meningkatkan bilangan poliklinik daripada 26 kepada 32 menjelang 2030 dan menaik taraf klinik doktor keluarga privet sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan penjagaan utama negara pada masa hadapan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Bercakap semasa majlis pembukaan pembangunan semula Poliklinik Pasir Ris di Pasir Ris Mall pada 7 Oktober, Encik Ong berkata pemerintah juga akan terus meningkatkan sumber bagi menyokong gerakan SG Lebih Sihat untuk mempromosikan penjagaan pencegahan.

Ini akan dilakukan menerusi pemberian insentif, jangkauan, program masyarakat, protokol penjagaan baru, teknologi dan sistem IT, untuk menjayakan SG Lebih Sihat dalam usaha membina kesihatan jangka panjang.

“Kami akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang penjagaan utama pada masa hadapan. Yang pertama ialah menerusi prasarana… Kedua, dalam penjagaan pencegahan, melalui strategi SG Lebih Sihat. Ini adalah perjalanan yang panjang.

“Ketiga, kita juga perlu menaik taraf klinik doktor keluarga privet. Mereka adalah sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan negara.”

“Mereka memberikan penjagaan utama bersubsidi, membantu mengurus pesakit yang menghidap penyakit kronik, dan menyelaraskan penjagaan dengan poliklinik, hospital dan agensi sosial,” kata Encik Ong.

Beliau menambah, pemerintah sedang meneroka cara meningkatkan kecekapan profesional doktor keluarga privet, menambah baik premis mereka untuk menggalak amalan pelbagai disiplin, dan perkukuh perkongsian dengan badan masyarakat dan penyedia penjagaan kesihatan lain.

Poliklinik Pasir Ris yang baru itu adalah “contoh baik komitmen kami untuk menambah baik penjagaan utama” di Singapura, kata Encik Ong.

Turut hadir dalam acara tersebut adalah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean, Dr Janil Puthucheary, Encik Desmond Tan, Encik Sharael Taha dan Cik Yeo Wan Ling.

Poliklinik Pasir Ris adalah antara 26 poliklinik di Singapura, dan menggantikan kemudahan lamanya di Bangunan Masyarakat Pasir Ris East, yang ditubuhkan sejak 2002.

Terletak di Pasir Ris Mall, Poliklinik Pasir Ris adalah poliklinik pertama di bawah SingHealth yang ditempatkan bersama di pusat beli-belah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di Singapura,

Kemudahan baru itu, kira-kira empat kali lebih besar daripada lokasi sebelumnya, akan menyediakan perkhidmatan tambahan yang tidak tersedia di klinik sebelumnya, dan menampilkan modul khusus yang boleh disesuaikan menjadi unit pandemik jika diperlukan, kata SingHealth.

Poliklinik itu juga akan menyediakan perkhidmatan telekonsultasi, yang merangkumi perkhidmatan pakar diet dan fisioterapi, selain bidang tradisional lain, seperti penjagaan pencegahan dan pengurusan penyakit kronik.

Dalam beberapa bulan akan datang, Klinik Memori Grace dan Klinik Kesejahteraan Kesihatan juga akan dibuka di poliklinik tersebut untuk menyokong penduduk yang mengalami demensia dan keperluan kesihatan mental.

“Poliklinik ini akan menjadi tapak latihan untuk doktor keluarga. Ia juga akan menampilkan Pusat Perubatan Keluarga Akademik, khusus untuk melatih doktor di bawah program residensi Perubatan Keluarga.

“Ia juga akan meningkatkan pemberian khidmat melalui penggunaan teknologi, seperti pemantauan menerusi telefon, pendaftaran elektronik, membuat janji temu dan pilihan pembayaran untuk pengalaman pesakit yang lebih lancar,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg