Mulai Oktober 2024, subsidi di hospital masyarakat akan dipertingkatkan agar sejajar dengan hospital akut, dan boleh digunakan untuk diagnostik lanjutan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Langkah itu akan meminimumkan kelewatan dalam pemindahan ke penjagaan susulan (step-down care), tambahnya.
Beliau berkata demikian pada 24 September dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Perubatan Kebangsaan, yang mengiktiraf pekerja perubatan, saintis perubatan dan karyawan penjagaan kesihatan lain yang cemerlang, lapor The Straits Times (ST).
Dalam perbahasan mengenai bajet Kementerian Kesihatan (MOH) pada Mac, Encik Ong berkata rangka kerja subsidi hospital masyarakat akan diselaraskan dengan rangka kerja subsidi hospital akut supaya pesakit menerima kadar subsidi yang sama iaitu 50 peratus hingga 80 peratus.
Beliau juga berkata lebih banyak perkhidmatan diagnostik, seperti imbasan CT dan MRI, dan ubat-ubatan berkaitan akan diberi subsidi di hospital masyarakat.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Encik Ong berkata bahawa didorong oleh penduduk yang semakin tua dengan keperluan penjagaan kesihatan yang berubah, “penjagaan semakin bertunjangkan masyarakat, kesihatan sedang dibangunkan di luar hospital, dan model penjagaan baru yang melibatkan perkongsian antara hospital dengan rakan kongsi masyarakat sedang muncul”.
Untuk mengiktiraf perubahan itu, MOH memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan Pasukan Penjagaan Masyarakat Kebangsaan yang baru pada acara 2024.
Anugerah itu mengiktiraf pasukan-pasukan yang telah menyumbang dengan ketara untuk meningkatkan kesihatan masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang langkah pencegahan dalam persekitaran penjagaan masyarakat.
Penerima pertama dalam kategori itu ialah pasukan Hospital Masyarakat SingHealth (SCH) yang mengetuai Program Preskripsi Sosial, dengan kerjasama Agensi Penjagaan Bersepadu, SkillsFuture Singapura dan beberapa pusat penuaan aktif.
Pasukan itu menyepadukan preskripsi sosial dengan penjagaan klinikal sebagai pendekatan baru untuk meningkatkan hasil kesihatan untuk warga emas.
Profesor Madya Lee Kheng Hock, timbalan ketua pegawai eksekutif SCH yang menyelia pendidikan dan perkongsian masyarakat, berkata preskripsi sosial menangani keperluan sosial warga emas, seperti kesunyian, perumahan dan isu sosial lain, “yang boleh menjejas kesejahteraan dan pemulihan pesakit dengan ketara”.
Menjalankan inisiatif serupa dipanggil Program Jiran untuk Hidup Aktif, Hospital Besar Changi (CGH) memanfaatkan hubungan erat yang dipupuk dengan sukarelawan dan jiran untuk memberikan sokongan sosial kepada warga emas.
Dipelopori oleh CGH seiring dengan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East pada 2013, program itu telah menyediakan penjagaan berasaskan tempat dan sokongan peribadi kepada lebih 14,000 penduduk daripada 18 kumpulan masyarakat di timur Singapura sejak 10 tahun lalu.
Diketuai oleh Cik Shirlyn Su Chang, penolong pengarah jabatan kesihatan dan integrasi sosial CGH, pasukan itu menerima Anugerah Kecemerlangan Pasukan Klinikal Kebangsaan.
Kededua pasukan itu dan enam individu menerima anugerah masing-masing daripada Encik Ong pada majlis makan malam di Pan Pacific Singapore pada 24 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg