Hospital masyarakat di Singapura perlu berkembang melangkaui peranan mereka sebagai penyedia penjagaan bertaraf rendah atau step-down untuk pesakit yang dirujuk oleh hospital akut.
Ini memandangkan penjagaan kesihatan Singapura sedang menjalani pembaharuan ke arah penjagaan pencegahan dengan lebih banyak sumber disalurkan ke dalam masyarakat untuk membantu rakyat kekal sihat, lapor The Straits Times.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkongsi visinya untuk sektor hospital masyarakat dalam ucapan di majlis makan malam amal sempena ulang tahun ke-28 Hospital St Luke (SLH) di Hotel One Farrer pada 13 September.
Beliau berkata sektor itu perlu bergerak dalam tiga arah.
Pertama, hospital masyarakat perlu mengembangkan rangkaian perkhidmatan mereka melangkaui penjagaan bertaraf rendah bagi pesakit dalam wad, kepada bidang seperti penjagaan paliatif.
Meskipun majoriti rakyat Singapura ingin meninggal dunia di rumah, namun sekitar 60 peratus rakyat Singapura masih menghembuskan nafas terakhir di hospital.
“Menyediakan penjagaan paliatif tidak seharusnya menjadi tanggungjawab hospis yang menjalankan tugas luar biasa. Lebih dekat pertubuhan penjagaan dengan masyarakat, lebih banyak ia perlu membangunkan keupayaan dalam penjagaan paliatif.
“Justeru, hospital masyarakat, kemudahan penjagaan peralihan dan rumah jagaan akhirnya mesti boleh menawarkan rawatan paliatif,” ujar Encik Ong.
Kedua, Singapura perlu memastikan penjagaan yang paling sesuai diberikan kepada pesakit.
Memetik contoh Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Masyarakat Jurong (JCH), Encik Ong menyatakan pekerja penjagaan kesihatan di JCH secara aktif melawat pesakit di wad akut NTFGH untuk mengenal pasti mereka yang sesuai untuk dipindahkan ke hospital masyarakat.
Hasilnya, gabungan purata tempoh penginapan di hospital akut dan komuniti telah dikurangkan hampir separuh – daripada 43 hari kepada 23 hari.
Ini kerana pemindahan lebih awal ke hospital masyarakat membolehkan pesakit mendapat manfaat daripada fisioterapi dan pemulihan awal.
“Justeru, kita harus cuba menjadikan kemasukan ke hospital masyarakat lebih fleksibel. Perlu ada tadbir urus dan kakitangan yang mencukupi untuk memastikan penjagaan dan penggunaan sumber sewajarnya,” kata Encik Ong.
Menurutnya, hospital akut perlu bekerjasama lebih rapat dengan hospital masyarakat untuk menggunakan laluan rujukan ini dengan lebih baik,” jelas beliau.
Kementerian Kesihatan (MOH) juga sedang mengkaji sumber rujukan lain ke hospital masyarakat, seperti rumah jagaan, tambahnya.
Ketiga, sektor penjagaan masyarakat juga perlu meningkatkan usaha untuk membangunkan tenaga kerja dengan latihan kemahiran baru untuk karyawan penjagaan kesihatan sedia ada dan melatih bakal pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg