Jadikan masa bersama keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.
Jika anak-anak anda peminat siri animasi televisyen Bluey, mereka akan teruja untuk melihat anjing berusia tujuh tahun bernama Bluey itu bersama keluarganya dalam rancangan teater sulung mereka.
Bluey’s Big Play akan dipentaskan di Sands Theatre dari 13 hingga 23 Jun.
Ini merupakan kali pertama pementasan itu diadakan di Asia sejak tayangan perdananya di Australia pada 2021.
Pementasan oleh Windmill Theatre Company yang berpangkalan di Melbourne itu telah ke Britain, Ireland dan Amerika Syarikat.
Menampilkan cerita asal oleh pencipta Bluey, Joe Brumm, pementasan selama 50 minit itu mengetengahkan telatah Bluey dan adiknya, Bingo yang berusia lima tahun.
Mereka menyembunyikan telefon bapa mereka, Bandit, apabila dia tidak meletakkannya untuk bermain dengan mereka.
Tiket berharga dari $38 hingga $108 dan boleh didapatkan di str.sg/CWJT.
Kanak-kanak berumur satu tahun mesti mempunyai tiket untuk menonton persembahan itu dan mereka yang berumur bawah 12 tahun mesti ditemani orang dewasa.
Pencurian identiti, serangan pancingan data dan perisian hasad – ini adalah beberapa isu keselamatan siber yang perlu diketahui oleh anak-anak supaya mereka boleh mengharungi dunia digital dengan selamat.
Daftarkan mereka untuk bengkel dalam talian percuma yang bertujuan melengkapi mereka dengan pengetahuan penting.
Mereka juga akan mempelajari kemahiran pengaturcaraan yang boleh membantu mereka dalam mereka bentuk alat seperti penyemak kekuatan kata laluan.
Dipimpin oleh pengajar dari sekolah pengekodan The Lab, bengkel Pengekodan Kesedaran Siber berlangsung dari 19 hingga 21 Jun selama dua jam setengah setiap hari.
Ia disyorkan untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 14 tahun.
Mereka memerlukan komputer yang boleh mengakses aplikasi Google Meet dan wadah pengaturcaraan Scratch.
Di akhir sesi tiga hari itu, peserta akan digalakkan menggunakan apa yang telah mereka pelajari dan menyerahkan projek mereka bagi pertandingan Kesedaran Siber pada Ogos, anjuran The Lab dan disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media.
Lungsuri str.sg/Dt6i untuk butiran lanjut.
Beli-belah untuk tujuan yang baik atau sertai bengkel kraf di Pasar Kemampanan Kanak-kanak pada 25 dan 26 Mei dari 10 pagi hingga 8 malam.
Dianjurkan oleh pertubuhan tidak mencari untung, Peace of Art, acara amal di atrium pusat beli-belah Marina Square itu akan mengumpul wang untuk program Young Hearts oleh Palang Merah Singapura.
Ia menyediakan sokongan akademik dan bimbingan untuk kanak-kanak yang tinggal di flat sewa awam.
Pelajar dari pelbagai institusi – termasuk Sekolah Rendah Admiralty, Prasekolah EtonHouse Zhong Hua dan Sekolah Perempuan Methodist – akan menjual barangan mampan atau menjadi fasilitator bengkel.
Terdapat sekitar 25 gerai yang akan diuruskan oleh kanak-kanak, dengan bantuan ibu bapa mereka.
Secara berasingan, belia dari Sekolah Menengah Broadrick adalah antara mereka yang telah meletakkan karya seni mereka untuk dilelong pada acara tersebut.
Ketahui lebih lanjut di sustainablemarkets.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg