Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (Steam), semakin diiktiraf sebagai kaedah pendidikan yang berkesan dalam membentuk pelbagai kemahiran kanak-kanak secara serentak.
Berbeza daripada kaedah pengajaran tradisional yang memisahkan setiap mata pelajaran, Steam menggabungkan beberapa disiplin dalam satu kegiatan bersepadu.
Melalui cara itu, kanak-kanak boleh meneroka, bertanya soalan dan menemukan sesuatu melalui pengalaman sendiri.
Kaedah itu juga membantu mereka mengaitkan pembelajaran dengan keadaan sebenar dalam kehidupan harian mereka, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan relevan.
Ia juga satu kaedah amat berkesan untuk mengasah pemikiran kritikal serta menanamkan semangat inovasi sejak usia muda.
Steam menekankan pembelajaran bersepadu, yang membolehkan kanak-kanak didedahkan kepada pelbagai bidang ilmu menerusi satu kegiatan.
Sebagai contoh, kegiatan membina menara menggunakan spageti dan marshmallow bukan sahaja melibatkan aspek kejuruteraan dan matematik, malah mengasah kreativiti serta kemahiran berfikir secara kritis.
Kegiatan seperti itu membolehkan kanak-kanak memahami konsep kestabilan struktur, keseimbangan, dan pengukuran secara praktikal.
Selain itu, kegiatan seperti membina cerun dengan pelbagai ketinggian sudut dan menguji pergerakan objek, menggabungkan kejuruteraan, teknologi dan sains.
Melalui kegiatan ini, kanak-kanak akan belajar tentang kuasa graviti, kelajuan dan sudut, serta bagaimana faktor tersebut mempengaruhi pergerakan objek.
Pengalaman tersebut membolehkan mereka mengaitkan teori dengan aplikasi sebenar dalam kehidupan harian.
Pendekatan Steam menggunakan teknik pemikiran kreatif yang tersusun.
Antaranya ialah kaedah yang dikenali dengan singkatan ‘Scamper’, iaitu satu pendekatan menyeronokkan dan berkesan untuk membantu kanak-kanak berfikir secara fleksibel dan imaginatif.
Dengan menggunakan rangsangan tertentu, kanak-kanak digalakkan menggantikan (Substitute), menggabungkan (Combine), menyesuaikan (Adapt), mengubah (Modify), menggunakan untuk tujuan lain (Put to another use), menyingkirkan (Eliminate), serta membalikkan (Reverse).
Langkah tersebut menggalakkan kanak-kanak menguraikan serta mencipta semula idea mereka.
Dengan cara ini, mereka menjadi lebih mampu untuk memperluas jawapan, menjangkakan hasil, berfikir secara sistematik, serta membuat analisis terhadap penemuan mereka.
Kaedah itu sangat berkesan untuk membentuk kemahiran menyelesaikan masalah dan mengukuhkan keupayaan bermuhasabah diri.
Kesan pendekatan bersepadu itu dapat dilihat dalam beberapa aspek penting perkembangan kanak-kanak, antaranya dalam membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah.
Kanak-kanak didorong untuk melihat cabaran sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.
Sebagai contoh, apabila jambatan yang dibina daripada blok jatuh bertaburan, mereka tidak melihatnya sebagai kegagalan.
Sebaliknya, mereka bertanya, “Bagaimana saya boleh membina jambatan yang lebih kukuh?”.
Proses membina, menguji dan memperbaiki sebegitu melatih mereka menjadi lebih cekal dan berdaya usaha dalam mencari jalan penyelesaian.
Pendekatan Steam turut memupuk kemahiran insaniah yang penting.
Kanak-kanak didedahkan kepada projek bersifat kolaboratif, di mana mereka belajar untuk menyuarakan pendapat, merunding reka bentuk, dan bekerjasama dalam satu pasukan.
Pengalaman itu membina kemahiran komunikasi, kolaborasi, daya imaginasi, dan kecekalan.
Kanak-kanak menjadi lebih yakin dan mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan.
Berikut adalah contoh pelbagai kegiatan yang mudah dilakukan oleh ibu bapa bersama anak mereka di rumah.
Fokus: Kejuruteraan dan Matematik
Bahan: Spageti jenis panjang yang belum dimasak, marshmallow
Arahan:
• Bina sebuah menara dengan menggunakan spageti sebagai batang dan marshmallow sebagai penyambung
• Pastikan menara boleh berdiri sendiri dan setinggi yang mungkin
• Ukur ketinggian menara anda dan bandingkan reka bentuk yang berbeza
Matlamat Pembelajaran: Memahami konsep kestabilan struktur, keseimbangan dan pengukuran
Fokus: Kejuruteraan, Teknologi dan Sains
Bahan: Papan (kadbod atau papan lapis), pelbagai jenis objek seperti kereta mainan, bola, pembaris
Arahan:
• Gunakan papan untuk membina sebuah cerun yang mempunyai sudut yang berbeza (30, 45, 60 darjah)
• Lepaskan objek dari bahagian atas cerun
• Rakamkan masa yang diambil dan bandingkan tahap kelajuan setiap objek
Matlamat Pembelajaran: Memahami hubungan antara sudut, tahap kelajuan dengan kuasa graviti
Fokus: Seni dan Sains
Bahan: Botol, bekas makanan, beras atau kekacang, getah ikat, balang
Arahan:
• Isikan botol dengan beras atau kekacang untuk cipta ‘marakas’
• Cipta sebuah ‘gitar’ mudah dengan merentangkan getah ikat pada balang
• Lakukan ujian dan amati kesan bunyi yang dihasilkan apabila menggunakan getah ikat dengan ketegangan berbeza, serta botol yang diisi dengan pelbagai kadar isian biji-bijian yang digoncang
Matlamat Pembelajaran: Memahami konsep getaran dan bunyi
Fokus: Kejuruteraan dan Sains
Bahan: Botol, penutup botol, straw, cucuk lidi kecil
Arahan:
• Bina sebuah kenderaan menggunakan penutup botol sebagai roda
• Bandingkan bagaimana kenderaan itu bergerak dengan roda dan tanpa roda
• Uji di pelbagai jenis permukaan (lantai atau permaidani)
Matlamat Pembelajaran: Memahami fungsi roda, geseran dan daya
Fokus: Seni, Teknologi dan Sains
Bahan: Sumber cahaya (telefon bimbit/lampu suluh), bahan-bahan yang terdapat di rumah, kertas, beberapa batang pensel
Arahan:
• Susun barang di antara sumber lampu dengan dinding atau kertas
• Tiru bentuk bayang-bayang yang terhasil pada kertas
• Ubah sudut dan jarak sumber cahaya, kemudian perhatikan bagaimana bayang-bayang berubah
Matlamat Pembelajaran: Memahami ciri-ciri pencahayaan, bayang-bayang dan perspektif
Setiap kegiatan hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit dan menggunakan barang yang mudah didapati di rumah.
Yang paling penting ialah semangat untuk meneroka dan masa bermutu yang diluangkan bersama anak untuk belajar.
Galakkan anak agar sentiasa bertanya soalan, seperti: “Apa akan jadi sekiranya…?”, bagi merangsang pemikiran kritis dan imaginasi mereka.
Selain itu, beri anak ruang untuk bereksperimen sendiri dan anggap kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang sangat berharga.
Akhir sekali, beri perhatian kepada perjalanan penerokaan dan penemuan, bukannya hanya tertumpu kepada hasilnya sahaja.
Selain itu kaitkan setiap kegiatan dengan kehidupan seharian dan dunia sebenar.
Penulis ialah pengurus kanan di Oaks Plus, entiti yang memiliki dan mengurus Prasekolah 7oaks. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Pendidikan Kanak-Kanak Awal dan Diploma Siswazah dalam Pembelajaran Dewasa dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg