Walaupun jumlah keseluruhan kematian menurun, jumlah kecederaan besar yang berlaku dalam sektor perkilangan meningkat antara Januari dengan Jun 2023, berbanding tempoh enam bulan yang sama pada 2022, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Sambil menegaskan bahawa syarikat perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan keselamatan di tempat kerja, beliau menambah, Sistem Mata Demerit, yang dilaksanakan Pasukan Bertindak Keselamatan Tempat Kerja Berbilang Agensi (Mast) untuk meningkatkan keselamatan dalam sektor pembinaan, akan diperluaskan kepada sektor perkilangan pada 1 Oktober 2023, seperti yang diumumkan sebelum ini.
Encik Zaqy berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui di tapak sebuah kemudahan perkilangan, Silesia Flavours, pada Khamis.
Secara keseluruhan, terdapat 88 kematian dan kecederaan besar dalam sektor perkilangan pada separuh pertama 2023 berbanding 65 kematian dan kecederaan besar dalam sektor tersebut pada separuh kedua 2022.
“Dengan mengadakan Sistem Mata Demerit, terdapat implikasi perniagaan yang mengisyaratkan kepentingan bagi pengurusan dan pemimpin syarikat perkilangan untuk menerapkan budaya mengutamakan keselamatan di tempat kerja,” ujar beliau.
Semasa lawatan itu, staf Silesia Flavours menunjukkan langkah dan kelengkapan keselamatan di kilang makanan tersebut, termasuk sebuah kabinet kalis bunyi yang berupaya mengurangkan bunyi daripada kira-kira 110 desibel kepada kurang daripada 80 desibel bagi memastikan keselamatan pendengaran.
Syarikat itu juga mempunyai mesin sejenis mesin untuk membantu mengangkat kotak-kotak dari barisan pengeluaran untuk mengurangkan risiko kecederaan.
“Silesia Flavours merupakan contoh baik bagi pengurusan syarikat yang mendengar maklum balas daripada pekerja-pekerjanya serta mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan mereka.
“Itu sikap yang kita mahu lihat daripada pihak pengurusan – sedar dan memikirkan keselamatan pekerja mereka,” tambah beliau.
Selain itu, dalam sektor binaan pula, secara keseluruhan, terdapat 87 kematian dan kecederaan besar pada separuh pertama 2023 berbanding 77 kematian dan kecederaan besar pada separuh kedua 2022.
Lebih banyak campur tangan yang disasarkan diperlukan bagi kerja pembinaan berskala lebih kecil seperti penambahan dan penukaran dan pengubahsuaian bagi meningkatkan standard keselamatan bagi kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semasa sesi taklimat media pada Rabu.
Menyampaikan harapannya untuk menggalakkan usaha berterusan oleh syarikat-syarikat, Encik Zaqy berkata:
“Secara keseluruhan, kita melihat jumlah kematian di tempat kerja turun pada separuh pertama 2023. Peningkatan ini menunjukkan hasil positif daripada Tempoh Keselamatan yang Dipertingkat (HSP) yang berakhir pada 31 Mei 2023.
“Bahkan, berdasarkan prestasi keselamatan kami dalam tiga tahun lepas, Singapura berada di tempat selepas empat negara OECD teratas.
“Namun, kita harus terus berpegang kepada Gerakan Visi Sifar, atau ‘Vision Zero’, untuk menerapkan pemikiran bahawa setiap kecederaan dan masalah kesihatan disebabkan kerja boleh dielakkan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg