Dengan kemajuan teknologi semakin pesat, adalah penting memanfaatkan peralatan digital untuk memberi golongan muda peluang menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan harian mereka, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Dengan menjadikan bahasa ibunda terus relevan kepada belia dan kanak-kanak, ia akan membolehkan lebih ramai daripada mereka mempelajarinya dan budaya Melayu, tambah beliau.
“Teknologi sedang berkembang pesat untuk pelajar dan belia dengan alat-alat seperti ChatGPT menyediakan akses kepada maklumat yang tidak terhad.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita memanfaatkan alat-alat seperti itu untuk melibatkan pelajar muda kita dengan menyediakan mereka peluang menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan harian mereka,” kata Encik Zaqy semasa berucap di satu acara Bulan Bahasa anjuran Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Marsiling pada 31 Ogos.
Pada acara Pesta Bahasa dan Budaya 2024 itu, sekitar 200 belia dan kanak-kanak daripada 10 sekolah, daripada peringkat prasekolah hingga ke politeknik, di kawasan utara berkumpul di Woodlands Civic Centre untuk menyemarakkan semangat Bulan Bahasa.
Menurut GRO Marsiling, edisi kelima pesta itu menyaksikan jumlah peserta terbesar di kawasan utara Singapura mempamerkan inisiatif dalam menjadikan bahasa Melayu sesuai dan relevan dengan kehidupan harian mereka.
Sekolah terlibat mempamerkan beberapa kegiatan menarik bagi pengunjung di reruai yang diadakan.
Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Rendah Marsiling, Sekolah Rendah Si Ling, Sekolah Rendah West View, Sekolah Menengah Marsiling, Sekolah Menengah Regent, Sekolah Menengah Woodlands Ring, Sekolah Menengah West Spring, Politeknik Ngee Ann dan Tadika Masjid An-Nur.
Daripada sekolah-sekolah ini, Sekolah Rendah West View, Sekolah Menengah West Spring dan Politeknik Ngee Ann telah bergabung tenaga untuk mempamerkan keindahan majlis perkahwinan Melayu yang tradisional.
Dalam satu lagi reruai yang dikendali oleh Sekolah Rendah Fuchun, mereka telah memanfaatkan alatan teknologi seperti Kahoot! untuk permainan dalam talian seerti-seiras dan kata berlawanan.
Turut menghadiri acara itu ialah pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa 2024, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang. Beliau gembira dengan kehadiran peserta dari sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi di kawasan kejiranan itu.
“Tema Bulan Bahasa ini adalah untuk mendekati belia kita dengan peserta melibatkan unsur-unsur seperti bahasa, budaya dan nilai masyarakat kita.
“Kita dapat lebih menyantuni belia kita dengan lebih dekat dan mendalami minat dalam bahasa Melayu kita,” ujarnya.
Ketua penganjur Bulan Bahasa 2024 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling, Cik Nur Syafiqah Shamsuddin, berkata beliau teruja dengan semangat yang ditonjolkan oleh belia yang hadir.
“Ramai anak-anak muda ini bertungkus lumus mengendali reruai mereka. Ada yang dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan sangat baik.
“Saya sangat gembira mereka dapat melestarikan bahasa dan budaya kita dengan bersemangat,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg