Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Jadikan masjid tempat anak muda dapat bimbingan, luas rangkaian, diberi peluang
Masjid Bencoolen raikan ulang tahun ke-200, lancar buku rakam sumbangan masyarakat India/Islam
Zaqy: Jadikan masjid tempat anak muda dapat bimbingan, luas rangkaian, diberi peluang
Masjid bukan sahaja tempat mendalami ilmu agama, bahkan ia juga tempat bagi anak-anak muda mendapat bimbingan daripada orang yang berpengalaman, meluaskan rangkaian dan membuka peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kehidupan.
Demikian yang ditekankan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, semasa berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-200 Masjid Bencoolen yang diadakan di Orchard Hotel pada 18 Oktober.
Mengulas tentang perjalanan dan sumbangan dua abad masjid itu, Encik Zaqy berkata Masjid Bencoolen telah menjadi tempat yang dekat di hati masyarakat, khususnya anak-anak muda, walaupun zaman dan cabaran yang mereka hadapi telah berubah.
“Sebab itulah saya menggalakkan Masjid Bencoolen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan India/Islam, M³+ (M Kuasa Tiga Plus) dan masyarakat Islam yang lebih luas,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).
“Saya berharap pertubuhan India/Islam dan generasi mudanya juga akan terus tampil berkongsi pengalaman, menyumbang idea dan bersama-sama memperkukuh masyarakat Islam di Singapura dengan perspektif dan kekuatan mereka tersendiri.”
Semasa ucapannya, Encik Zaqy berkata masyarakat India/Islam telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura dan memperkayakan warisan masyarakat Islam.
Beliau menekankan bahawa sumbangan masyarakat India/Islam terhadap landskap sosial, budaya, dan ekonomi Singapura adalah “mendalam serta berkekalan”.
Sumbangan-sumbangan ini, kata Encik Zaqy, bukan sekadar sebahagian daripada sejarah India/Islam.
Malah, ia merupakan bahagian penting dalam kisah Singapura, serta warisan yang kaya dan pelbagai bagi masyarakat Islam negara ini.
“Masjid Bencoolen telah menjadi teras dalam perjalanan sejarah ini, dengan membimbing individu-individu yang kemudiannya berbakti kepada keluarga, masyarakat, dan negara mereka,” kata Encik Zaqy.
Masjid Bencoolen, yang dibina pada 1825, merupakan antara masjid tertua di Singapura, selain Masjid Sultan dan Masjid Omar Kampong Melaka.
Ia dibina oleh pekerja Muslim dari India yang dibawa oleh pihak British dari India ke Bengkulu, Indonesia, sebelum mereka berpindah ke Singapura.
Semasa acara tersebut, Encik Zaqy turut melancarkan sebuah buku meja kopi yang mendokumentasikan perjalanan serta sumbangan luas 200 tahun Masjid Bencoolen.
Buku bertajuk ‘Masjid Bencoolen 200 Tahun – Meraikan Dua Abad Keimanan dan Khidmat sejak 1825’ mendokumentasikan sejarah kaya masjid itu serta peranannya yang berterusan sebagai tempat ibadah dan khidmat masyarakat.
“Kisah-kisah yang terkandung dalam buku ini mengingatkan kita bahawa dua ratus tahun bukan sekadar angka.
“Ia mengingatkan kita tentang pengorbanan generasi terdahulu yang telah membina dan memelihara Masjid Bencoolen selama dua abad,” kata Encik Zaqy.
Antara yang turut hadir di majlis tersebut adalah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen.
Turut hadir juga adalah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central merangkap Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah, serta AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.
Semasa ucapannya, Encik Zaqy menyentuh tentang semangat ‘amanah’ yang telah mengekalkan Masjid Bencoolen selama dua abad, dan yang mesti terus memandu masa depannya.
Demi meneruskan amanah ini serta legasi yang telah dibina oleh generasi terdahulu, Encik Zaqy menggesa masyarakat serta anak muda untuk terus berusaha meninggalkan sesuatu yang bermakna bagi generasi yang akan datang.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar menjaga apa yang telah dibina, tetapi lebih daripada itu, memastikan bahawa kebersamaan dan sikap saling bantu-membantu yang menjadi kekuatan Masjid Bencoolen, terus hidup dalam masyarakat kita.
“Kerana akhirnya, warisan yang paling bermakna, bukan sekadar apa yang kita terima daripada generasi terdahulu, tetapi kebaikan yang dapat kita teruskan kepada generasi akan datang,” kata Encik Zaqy.
Menyahut seruan Encik Zaqy, Ustazah Almas Nihar, seorang guru agama dan pembimbing belia Masjid Bencoolen berkata belia masjid itu akan meneruskan legasi masjid tersebut serta tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh generasi terdahulu untuk mendekati masyarakat.
Beliau berkata pihak masjid masjid, serta kumpulan belianya juga, akan terus bekerjasama dengan masjid-masjid serta masyarakat Melayu/Islam dan India/Islam lain, untuk menarik lebih ramai belia datang ke masjid itu.
“Kami mempunyai pelbagai program untuk para belia, bukan sekadar program menghafal Al-Quran, malah program pembangunan diri juga disediakan.
“Sebanyak dua kali setahun, kami menganjurkan kem belia di mana kami mengajar mereka cara mengimarahkan masjid.
“Jadi, mereka boleh datang ke sini untuk belajar dan melibatkan diri bersama kita,” katanya.
