Masjid-masjid di Singapura telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menjimatkan penggunaan tenaga, daripada beralih kepada penggunaan lampu LED, memasang paip jimat air, hinggalah menggunakan kipas berkapasiti tinggi bagi mewujudkan sistem penyejukan yang lebih cekap.

Inisiatif sedemikian dilaksanakan di tengah-tengah peningkatan kos tenaga sejagat yang didorong oleh gangguan bekalan serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah, sehingga menyebabkan kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik.

Sebahagian besar tekanan itu berpunca daripada penutupan hampir sepenuhnya Selat Hormuz, yang telah mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga sejagat dan mendorong kenaikan kos yang turut dirasai di Singapura.

Selat tersebut adalah laluan perkapalan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dunia.

Ia baru dibuka semula selepas Iran dan Amerika Syarikat mengikat perjanjian awal untuk mengakhiri peperangan, tetapi pemerhati memberitahu Berita Harian (BH) kesannya dijangka berlarutan.

Antaranya ialah tarif elektrik yang dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang mencetus keprihatinan dalam kalangan pengguna individu, komersial dan institusi masyarakat seperti masjid.

Tinjauan BH menunjukkan beberapa masjid mengorak langkah mengurangkan penggunaan elektrik dan air, walaupun beberapa langkah sedemikian sebenarnya telah diperkenalkan lebih awal – antara usaha jangka panjang dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke arah kemampanan.

Beberapa masjid memberitahu BH mereka sedang memperhalusi operasi harian bagi menguruskan peningkatan kos utiliti tanpa menjejas keselesaan jemaah.

Salah sebuah masjid yang mengambil pendekatan sedemikian adalah Masjid Bencoolen, di Bencoolen Street.

Pengerusi Masjid Bencoolen, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof, berkata masjid tersebut telah menyaksikan peningkatan kos utiliti sekitar 15 hingga 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, pihak masjid telah meneliti semula beberapa aspek penggunaan tenaga elektrik bagi mengenal pasti ruang penjimatan yang boleh dilakukan.

Antaranya, ia menutup suis kesemua lampu di masjid selepas 10.30 malam – iaitu tamat waktu operasi masjid itu – dan hanya menggunakan lampu LED kecil di ruang solat utama.

Lampu LED kecil itu merangkumi 1 hingga 3 watt elektrik, dan berbeza daripada langkah yang biasa dilakukan, iaitu membiarkan lampu di salah satu kawasan di ruang solat utama terus menyala sehingga sekitar 5 pagi pada hari seterusnya.

“Sederetan lampu siling terdiri daripada kira 10 hingga 15 mentol elektrik dengan kapasiti tujuh watt setiap satu.

“Secara keseluruhan, ia sekitar 100 watt, dan setiap kali kami dapat menjimatkan kira-kira 90 watt.

“Kami hanya membiarkan lampu penjimatan tenaga yang kecil di ruang solat utama supaya kawasan tersebut tidak berada dalam keadaan gelap sepenuhnya,” ujarnya.

Selain itu, penggunaan alat penyaman udara di ruang solat utama masjid itu turut disesuaikan.

Menurut Encik Mohamed Rafeeq, masjid sebelum ini lazimnya menggunakan sehingga empat unit alat penyaman udara pada hari biasa.

Namun, ia kini menggunakan dua unit sahaja dan bergantung pada kipas yang menggunakan kurang tenaga elektrik.

“Jika kehadiran jemaah meningkat dan lebih banyak saf solat dipenuhi, kami akan menyesuaikan semula penggunaan bagi memastikan keselesaan jemaah terpelihara,” jelasnya.

Suasana ruang solat utama Masjid Bencoolen pada solat Jumaat dengan hanya dua unit alat penyaman udara dan kipas digunakan berikutan cuaca hujan pada 12 Jun.
Suasana ruang solat utama Masjid Bencoolen pada solat Jumaat dengan hanya dua unit alat penyaman udara dan kipas digunakan berikutan cuaca hujan pada 12 Jun. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Bagi Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris Walk, ia menjimatkan penggunaan tenaga dengan mengurangkan penggunaan alat penyaman udara.

Menurut pengerusi masjid tersebut, Ustaz Sadiqul Amin Mazlan, separuh daripada alat tersebut di masjid itu akan dimatikan pada waktu solat jemaah subuh, maghrib dan isyak apabila cuaca lebih redup.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan lebih dingin, kami akan mematikan alat penyaman udara,” jelas Ustaz Sadiqul.

Sistem penyaman udara pintar juga dipasang bagi membolehkan suhu ruang solat disesuaikan dengan lebih mudah.

Penyesuaian demikian adalah antara cara masjid mengatasi harga elektrik yang semakin meningkat dengan mengurangkan penggunaan elektrik.

“Walaupun kami ingin berjimat, kami memastikan bahawa dengan penyesuaian penggunaan alat penyaman udara, keselesaan jemaah dalam menjalankan ibadah tidak terkesan.

“Alhamdulillah, perubahan ini tidak mendatangkan sebarang aduan yang menjejaskan keselesaan jemaah,” tambah beliau.

Mengulas lanjut tentang kesan kenaikan tarif elektrik kepada BH, Muis berkata ia memantau trend utiliti dalam sektor masjid dengan teliti serta kekal peka terhadap keperluan masjid dalam menguruskan kos tersebut.