Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berada di Indonesia dari 17 hingga 18 September untuk menghadiri Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali (BIA) 2024.
BIA, yang berfungsi sebagai wadah menyatukan pertahanan antarabangsa dan masyarakat aeroangkasa, dihadiri oleh pegawai pemerintah dan pertahanan, serta pemimpin industri dan perniagaan dari seluruh dunia.
Menteri Penyelaras bagi Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Encik Luhut Pandjaitan, merasmikan majlis pembukaan pada 18 September, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 18 September.
Lawatan Encik Zaqy ke Indonesia menggariskan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan berpanjangan antara Singapura dengan Indonesia.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Pertahanan Nasional Indonesia berinteraksi secara berkala merentasi pelbagai kegiatan, termasuk latihan ketenteraan, lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional dan kehadiran silang kursus.
Interaksi ini membolehkan kedua-dua negara memperdalam persefahaman bersama, mengukuhkan persahabatan dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan pertahanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg