Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF, TNI selesai jalani latihan dua hala ke-36

Mindef: Latihan pertingkatkan persefahaman, perkukuh hubungan melalui pertukaran profesional
Sep 11, 2024 | 7:27 PM
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) bergambar di majlis perasmian Latihan Safkar Indopura 2024, di Salatiga, Jawa Tengah, Indonesia.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) bergambar di majlis perasmian Latihan Safkar Indopura 2024, di Salatiga, Jawa Tengah, Indonesia. - Foto MINDEF

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat telah mengadakan Latihan Safkar Indopura (XSI) di Salatiga, Jawa Tengah, Indonesia, dari 2 hingga 11 September.

Dalam satu kenyataan media Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 11 September, ia mengatakan edisi XSI ke-36 ini menghimpunkan sekitar 200 anggota daripada Briged Infantri Singapura Ketiga Ibu Pejabat SAF (HQ 3 SIB) dan Rejimen Infantri Singapura Kelima (5 SIR).

Ia turut termasuk Briged Infantri Mekanis Keenam (BRIGED Mekanis Raider 6), dan Batalion Penyerbu Infantri Mekanis ke-411 (YONIF Mekanis Raider 411) dari Komand Simpanan Strategik Tentera Darat (Kostrad) bagi Indonesia.

Seramai 11 kakitangan perubatan dari Ibu Pejabat Khidmat Perubatan Tentera (HQ AMS) dan Ibu Pejabat Institut Perubatan Tentera (HQ MMI) turut bekerjasama dengan TNI AD untuk menyediakan perkhidmatan perubatan dan pergigian asas sebagai sebahagian daripada Program Bantuan Masyarakat.

Latihan dua hala itu memberikan peluang mempertingkatkan persefahaman bersama dan memperkukuhkan hubungan melalui pertukaran profesional, tambah Mindef.

Latihan 10 hari kali ini tertumpu kepada latihan operasi kontingensi seperti rondaan, latihan silang dalam kelangsungan hidup dalam hutan dan pengurusan mangsa pertempuran, dan latihan tembakan menggunakan peluru hidup menerusi senjata ringan dengan senapang perkhidmatan bagi kedua-dua angkatan tentera.

Kemuncak XSI adalah latihan di lapangan peringkat batalion di Kawasan Latihan Gunung Merbabu.

Dalam acara penutup tirai latihan pada 11 September, Komander Divisyen Singapura ketiga (3 Div) SAF, Brigedier Jeneral (BG) Cai Dexian, berkata kedua-dua Singapura dan Indonesia berdepan ancaman keselamatan yang serupa dalam dunia yang semakin kompetitif.

“XSI adalah penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. Dengan bekerjasama, Singapura dan Indonesia menonjolkan komitmen bersama kepada keamanan, keselamatan dan kemakmuran di Asean,” ujarnya.

Turut hadir bagi merasmikan acara penutup tirai itu adalah Komander Konstrad TNI AD, Leftenan Jeneral (LT-JEN) Mohamad Hasan.

XSI pertama diadakan pada 1989. Sewaktu latihan itu, dua negara ini terlibat dalam pelbagai kegiatan dua hala, termasuk latihan, lawatan tentera, pertukaran profesional dan kursus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg