Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Mendaki giat kumpul maklum balas bagi pelan induk 5 tahun mendatang

Lebih 600 individu sumbang pandangan sejak Mendaki anjur sesi kumpul maklum balas seperti dialog sejak Mac
Jul 26, 2025 | 7:07 PM
Zaqy, Raikan Ilmu, Mendaki
Pengerusi Yayasan Mendaki yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan), berkunjung ke ‘RaikanIlmu @ Heartlands’ di Northpoint City pada 26 Julai dengan ditemani oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Cik Lee Hui Ying (tengah), dan telah meninjau reruai interaktif oleh sektor berlainan seperti pelancongan dan hidupan liar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Yayasan Mendaki telah menerima maklum balas daripada lebih 600 individu sejak ia mula mengumpul pandangan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan pada Mac dalam usaha merangka pelan induk lima tahun yang seterusnya, kata Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Bercakap semasa pesta ‘RaikanIlmu @ Heartlands’ anjuran Yayasan Mendaki di Northpoint City, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), berharap lebih banyak maklum balas dapat dikumpul apabila usaha itu diteruskan sehingga akhir Ogos kerana suara masyarakat adalah penting dalam Mendaki melakarkan rancangannya pada masa depan.

“Mendaki akan melibatkan masyarakat sedang kami melakar Pelan Induk Lima Tahun kami yang seterusnya.

“Seperti yang saya kongsikan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) Mendaki pada Jun, kami sedang mengumpul pandangan dan idea melalui dialog dan tinjauan dengan masyarakat, rakan kongsi dan pihak berkepentingan pemerintah.

“Kami telah mendengar daripada lebih 600 maklum balas setakat ini, dan berharap dapat mencapai lebih banyak lagi menjelang Ogos,” kongsi Encik Zaqy ketika ditemui pihak media.

“Kami ingin mendengar daripada mereka tentang kelainan yang Mendaki boleh lakukan. Saya rasa ini amat penting sedang kami melakar pelan induk bagi lima tahun yang akan datang.”

Lebih 600 pelajar, ibu bapa, golongan profesional, belia dan pemimpin masyarakat telah menyumbang aspirasi, idea dan maklum balas, yang dikumpulkan melalui sesi dialog, tinjauan dan sesi libat urus yang diadakan dari Mac hingga Julai 2025, menurut Mendaki dalam satu kenyataan pada 26 Julai.

Merumuskan tentang acara Raikan Ilmu yang berlangsung sepanjang Julai, Encik Zaqy berkata bahawa inisiatif sedemikian adalah penting untuk memberi pendedahan kepada anak-anak dan ibu bapa mengenai arah aliran terkini dalam sektor pekerjaan dan pendidikan.

Menurutnya, landskap pekerjaan dan ekonomi telah banyak berubah dengan kemunculan pelbagai trend baru.

Justeru, reruai interaktif yang dipamerkan menunjukkan bagaimana bidang seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kemampanan, alam sekitar menjadi antara bidang kerjaya yang dijangka berkembang dalam masa terdekat.

Di samping itu, ramai pelajar mungkin belum mempunyai pengetahuan atau persediaan untuk menceburi pekerjaan dalam bidang-bidang tersebut, tambah Encik Zaqy.

Oleh itu, pendedahan melalui Raikan Ilmu dapat membantu mereka memahami konsep baru seperti penggunaan dron dan kecerdasan buatan (AI).

“Selain itu, kanak-kanak juga didedahkan kepada potensi kerjaya dalam sektor seperti pelancongan, hidupan liar seperti Mandai Wildlife, teater dan lain-lain.

“Saya berharap agar usaha ini dapat membuka minda anak-anak kita supaya apabila mereka melanjutkan pelajaran, mereka akan lebih berminat untuk memilih kursus atau haluan yang sesuai dalam pendidikan tinggi, sama ada di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik mahupun universiti.

“Ia juga dapat memberikan mereka gambaran yang lebih jelas tentang jenis kursus yang boleh diambil agar mereka dapat membina laluan ke arah peluang pekerjaan pada masa hadapan,” kata Encik Zaqy.

Inisiatif itu telah menarik perhatian lebih 90,000 pengunjung sejak dianjurkan dan akan melabuhkan tirai pada 27 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg