Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Pembangunan Jamae Chulia Heritage perkukuh aset wakaf, pelihara warisan
Bangunan pelbagai guna dilancarkan pada 24 Okt sempena ulang tahun ke-200 Masjid Jamae Chulia
Zaqy: Pembangunan Jamae Chulia Heritage perkukuh aset wakaf, pelihara warisan
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad berkata adalah penting untuk memelihara tujuan asal wakaf sambil menyesuaikannya untuk memenuhi keperluan semasa.
Satu contoh sedemikian ialah pembangunan wakaf Jamae Chulia Heritage yang dilancarkan pada 24 Oktober, di mana ia dibangunkan sempena ulang tahun ke-200 Masjid Jamae Chulia.
Menurut Encik Zaqy yang menghadiri majlis pelancaran pembangunan wakaf itu di Chinatown pada 24 Oktober, pembangunan itu mencerminkan usaha untuk menggiatkan semula aset wakaf di samping memelihara warisan masyarakat Islam India Singapura.
Terletak di antara Mosque Street dengan Pagoda Street, pembangunan bernilai $30 juta itu merangkumi pangsapuri servis 90 unit berkunci dikendalikan oleh The Ascott Limited di bawah jenama lyf Chinatown – yang mula beroperasi pada 3 Julai – serta tujuh ruang runcit, termasuk cawangan makanan dan minuman.
Pembangunan semula ini menduduki kawasan yang sebelum ini merupakan tanah kosong serta empat rumah kedai yang dipulihkan.
Ia dibangunkan oleh WJC Heritage, anak syarikat milik Warees Investments, dengan kerjasama wakaf-wakaf yang diuruskan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Projek tersebut merupakan pembangunan keempat di bawah Skim Pembaharuan Wakaf (WRS).
Dalam ucapannya, Encik Zaqy menekankan kepentingan mengekalkan matlamat asal wakaf di samping menyesuaikannya mengikut peredaran zaman.
“Apa yang diturunkan kepada kita ialah satu amanah, dan pengurusan yang baik bermakna memastikan ia terus memenuhi tujuannya.
“Masyarakat yang yakin mesti tahu apa yang perlu dikekalkan dan apa yang perlu berubah,” ujar beliau.
Tambahnya lagi:
“Jamae Chulia Heritage menunjukkan bagaimana wakaf boleh diperbaharui mengikut keperluan semasa, tanpa melupakan tujuan asalnya.
Bangunan boleh berubah tetapi tujuan wakaf untuk membawa kebaikan kepada masyarakat mesti terus kekal.”
Justeru, Encik Zaqy berharap inisiatif Jamae Chulia Heritage ini dapat membuka mata generasi muda tentang jasa perintis terdahulu sekali gus memberi inspirasi untuk mereka terus berbakti.
“Anak muda kita bukan sekadar pewaris kisah ini. Merekalah penulis bab seterusnya,” ujarnya.
Menurut Naib Presiden Aset Komersial Strategik Warees Investments, Cik Rumaizah Muzaffar, keuntungan sewa dipastikan dapat meningkatkan pendapatan bersih bagi membolehkan agihan tahunan yang lebih stabil serta dana disumbangkan kepada tiga penerima iaitu Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar dan Nagore Dargah.
Ketiga-tiga institusi itu merupakan penerima manfaat Wakaf Jamae, yang terus menyokong keperluan masyarakat India Islam.
Pengerusi Warees Investments, Encik Abdul Razak Maricar, berkata projek tersebut mengambil masa lebih sedekad untuk dirancang, dengan setiap keputusan utama diteliti oleh lembaga pengarah bersama MUIS.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperbaharui aset wakaf bukan semata-mata untuk mengejar pulangan komersial, tetapi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh yang panjang.
“Wakaf yang tidak digunakan ialah hadiah yang sudah berhenti memberi,” katanya.
Selain memastikan kemampanan kewangan wakaf, Jamae Chulia Heritage turut diharap menjadi ruang untuk masyarakat menghayati sejarah dan sumbangan generasi terdahulu.
Penasihat akar umbi, Dr Hamid Razak, menyifatkan pembukaan itu sebagai detik penting bagi masyarakat India Islam yang kini memasuki fasa seterusnya, iaitu membina keupayaan dan institusi untuk meningkatkan sumbangan kepada generasi akan datang.
“Cara terbaik untuk memelihara warisan sebenarnya adalah dengan menghayatinya dan menggunakannya.
“Kita tidak mahu sekadar memelihara bangunan demi memelihara bangunan, tetapi kita mahu meraikan nilai masyarakat, usaha keras nenek moyang kita dan bagaimana semua ini dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurut Dr Hamid, sejarah masyarakat India Islam merupakan sebahagian penting daripada kisah pembinaan Singapura. Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda serta masyarakat umum dapat memanfaatkan ruang tersebut untuk lebih memahami sumbangan generasi terdahulu.