Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmla bakal dipinda untuk perkukuh tadbir urus SCIS
Pengiktirafan undang-undang turut membolehkan SCIS anugerah ijazah, diploma, dan sijil dalam pendidikan tinggi agama.
Amla bakal dipinda untuk perkukuh tadbir urus SCIS
Pindaan terhadap Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) telah dibentangkan di Parlimen pada 6 Oktober, yang antara lain akan mewujudkan rangka kerja tadbir urus dan pengawasan baharu bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal ditubuhkan.
Ia juga akan memberikan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kuasa pengawasan terhadap misi SCIS untuk membangunkan bakat dalam bidang keagamaan.
MUIS juga akan diberi kuasa untuk menyediakan pembiayaan daripada sumber masyarakat sedia ada yang diuruskannya, termasuk daripada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), zakat dan wakaf.
Pindaan tersebut telah dibentangkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Dalam catatan Facebook pada 6 Oktober, Encik Zaqy berkata pindaan tersebut bertujuan untuk memperkukuh tadbir urus SCIS yang akan datang.
“Cadangan-cadangan tersebut telah dimaklumkan oleh pandangan yang dikongsi semasa rundingan awam dan penglibatan kami dengan pemimpin masyarakat dan agama, peguam dan rakan kongsi lain.
“Terima kasih kepada semua yang meluangkan masa untuk berkongsi pandangan anda. Maklum balas anda adalah penting kerana kami terus berusaha untuk memastikan institusi kami dipercayai dan relevan dengan masyarakat kita,” kata Encik Zaqy.
Selain itu, pindaan kepada Amla juga akan memberikan pengiktirafan undang-undang kepada SCIS dan membolehkannya menganugerahkan ijazah, diploma, dan sijil dalam pendidikan tinggi agama, termasuk ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam.
“Ini akan memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi yang berwibawa, meningkatkan keupayaannya untuk menarik bakat tempatan serta meluaskan laluan kerjaya bagi lulusannya,” kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
SCIS, yang kali pertama diumumkan pada 2024, merupakan institusi pengajian tinggi Islam khusus yang pertama di Singapura.
Ia bertujuan melahirkan asatizah dan pemimpin masyarakat masa depan menerusi program antara disiplin yang menggabungkan pengajian Islam dengan bidang lain seperti sains kemasyarakatan.
Dijangka dibuka pada 2028 dengan kohort pertama yang terdiri daripada kira-kira 60 pelajar, ia akan beroperasi dari kampus pembelajaran MUIS di Bencoolen Street, sebelum berpindah ke kampus baharunya di Rochor.
Perubahan lain terhadap AMLA termasuk memberikan kuasa kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam untuk menyelia perkara-perkara pentadbiran dan kewangan tertentu.
Ia akan memberikan kuasa kepada Menteri untuk menyelia rangka kerja kebertanggungjawapan dan jaminan kualiti SCIS, mengakses rekod kewangannya, membuat pelantikan bagi Lembaga Pentadbirnya, serta meluluskan keputusan penting seperti perubahan pada perlembagaannya.
“Ini akan menyokong tadbir urus yang baik, memandangkan kolej tersebut akan menerima dana daripada pemerintah dan masyarakat,” kata MCCY.
Pemerintah akan membiayai komponen bukan agama bagi program dan infrastruktur SCIS, termasuk program sains sosialnya, manakala masyarakat Islam akan membiayai komponen pendidikan agama, menurut MCCY.
Pada 2025, SCIS telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).
Ia akan mempunyai autonomi untuk menentukan aturan tadbir urusnya sendiri melalui perlembagaan dan dasar-dasarnya, serta membangun dan mengekalkan piawaian tinggi dari segi ketelitian akademik dan kebebasan ilmiah.
Setakat ini, SCIS telah menjalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa, seperti Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Universiti Jordan, Dar Al-Ifta (Mesir) dan Universiti Al-Qarawiyyin (Maghribi).
Dengan penubuhan SCIS, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam akan menyelia perkara berkaitan dasar, hala tuju strategik dan tadbir urus, manakala Mufti akan menyelia hal ehwal akidah dan keilmuan agama.
“Cadangan pindaan ini bertujuan untuk memperkukuh institusi Islam di Singapura dan memastikan ia kekal responsif terhadap keperluan masyarakat yang sentiasa berubah,” menurut MCCY.