Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Pemerintah mahu himpun kekuatan pelbagai masyarakat Islam bagi manfaat bersama
Zaqy: Pemerintah mahu himpun kekuatan pelbagai masyarakat Islam bagi manfaat bersama
Kerjasama merentas pelbagai masyarakat Islam mencerminkan bagaimana pertubuhan Islam bukan sahaja berkhidmat untuk masyarakat masing-masing, malah turut menyumbang kepada masyarakat Singapura yang lebih luas, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Memberi contoh badan-badan seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki, Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Encik Zaqy berkata pertubuhan sedemikian mencerminkan sifat inklusif Singapura yang berkembang berlandaskan sikap saling menghormati, tanpa mengira kaum atau agama.
Beliau berkongsi demikian kepada pihak media di luar sambutan ulang tahun ke-85 SKML yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 12 September.
“Sama ada melalui Sinda, Mendaki atau MUIS, kita dapat melihat kerjasama merentas pelbagai segmen masyarakat.
“Pada pandangan saya, ini benar-benar mencerminkan apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tadi, iaitu bagaimana Singapura berkembang melalui sikap saling menghormati dan keterangkuman, tanpa mengira kaum atau agama.
“SKML dan pertubuhan lain dalam masyarakat Islam telah menunjukkan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas,” kata Encik Zaqy.
Sambutan ulang tahun SKML dihadiri tetamu terhormat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, serta beberapa Menteri dan Anggota Parlimen (AP) lain.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata bahawa dasar pemerintah membantu mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang bergaul dan berkembang bersama, namun, perpaduan dipupuk oleh masyarakat yang saling mempercayai.
Menyetujui, Encik Zaqy berkata terdapat peluang untuk memanfaatkan rangkaian hubungan rentas masyarakat berbeza.
“Saya fikir terdapat ruang untuk kita mula bekerjasama dengan lebih banyak merentas masyarakat, serta menggabungkan rangkaian kita agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih luas.
“Melalui program-program yang kita jalankan, usaha kita hari ini juga melangkaui dan merentasi semua kaum.
“Saya fikir ini merupakan salah satu cara kita boleh bekerjasama, memikirkan penyelesaian kepada cabaran semasa dan memastikan usaha kita terus relevan.”
Dalam pada itu, satu dana bantuan kewangan khas ‘SKML Ascend Education Fund’ bernilai $250,000 hasil daripada sumbangan anggota masyarakat, turut dilancarkan.
Presiden SKML, Encik Raja Mohamad, berkata:
“Kami melancarkan ‘Dana Ascend Education SKML’ kerana kami menyedari bahawa permintaan untuk bantuan pendidikan terus meningkat.
“Kami meletakkan dana ini sebagai jaring keselamatan pilihan terakhir bagi membantu mereka yang mungkin tidak dapat memperoleh sokongan menerusi sistem sedia ada, seperti dermasiswa yang ditawarkan oleh Mendaki, Sinda, dan pelbagai pihak lain.”

