Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Perikatan tiga pihak harus dibina atas kepercayaan, persefahaman

Oct 15, 2024 | 5:18 PM
Semasa menjawab soalan di Parlimen pada 15 Oktober, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, menjelaskan semangat perikatan tiga pihak harus dibina atas kepercayaan dan persefahaman bersama antara majikan dan kesatuan.
Semasa menjawab soalan di Parlimen pada 15 Oktober, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, menjelaskan semangat perikatan tiga pihak harus dibina atas kepercayaan dan persefahaman bersama antara majikan dan kesatuan. - Foto MDDI

Semangat perikatan tiga pihak harus dibina atas kepercayaan dan persefahaman bersama antara majikan dan kesatuan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Bagaimanapun, kepercayaan dan persefahaman bersama ini perlu mengambil kira keseimbangan terhadap sesebuah perniagaan dan pekerja agar Singapura kekal menarik bagi syarikat untuk membuat pelaburan, tambah beliau.

Encik Zaqy berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Luar), Dr Tan Wu Meng, dan Encik Patrick Tay (Pioneer) di Parlimen pada 15 Oktober.

Dr Tan mengajukan soalan apakah pemerintah telah mengambil kira norma yang mungkin rapuh jika syarikat tidak mematuhi atau menghormati amalan terbaik perikatan tiga pihak.

Encik Tay pula bertanya sama ada pemerintah akan menyemak semula nasihat, peraturan dan undang-undang sedia ada bersangkutan pekerjaan bagi mengatasi sebarang kekaburan.

Soalan sedemikian dikemukakan berhubung pemberhentian pekerja oleh syarikat peralatan pengguna Dyson – yang mempunyai ibu pejabat sejagat di Singapura di St James Power Station, HarbourFront – pada 1 Oktober dan melibatkan kakitangan daripada golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) di sini.

Tidak segera diketahui jumlah kakitangan yang telah diberhentikan, tetapi golongan sedemikian tidak dilindungi Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (Uweei) – kesatuan sekerja yang Dyson telah tandatangani perjanjian kolektif.

Encik Zaqy berkata syarikat itu telah mengikuti garis panduan dan peraturan yang ditetapkan undang-undang dan perikatan tiga pihak.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga telah berbincang dengan semua pihak terlibat dalam semangat perikatan tiga pihak.

Namun, beliau memberi penekanan bahawa terdapat ruang untuk meningkatkan peraturan atau panduan susulan perbincangan tersebut.

“Perikatan tiga pihak harus dibina atas dasar kepercayaan dan keyakinan. Sudah tentu, kedua-dua pekerja dan majikan inginkan hasil yang berpihak kepada kedua-duanya.

“Sebagai rakan kongsi tiga pihak, kita juga perlu membuka ruang komunikasi dalam kalangan semua pihak – contohnya jika ada bahagian peraturan atau nasihat yang lapuk dan perlu dikemas kini untuk menangani kejadian (dalam era baru),” ujarnya.

Beliau juga berkata sungguhpun majikan dan pekerja menginginkan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak, perlu ada keseimbangan bagi melindungi pekerja dan sedikit kelonggaran bagi perniagaan.

Di beberapa negara lain misalnya, kesatuan sekerja dan majikan mempunyai hubungan yang lebih konfrontasi, atau pasaran buruh lebih ketat, tambah beliau.

Encik Zaqy menjelaskan: “Ini menjadikan sebuah negara kurang menarik untuk syarikat melabur.

“Jika kita tidak dapat mencapai keseimbangan yang betul, kita mungkin berasakan bahawa kita melindungi pekerja dalam jangka masa pendek.

“Tetapi dalam jangka masa panjang, pekerjaan yang baik untuk pekerja kita mungkin berkurangan.”

Ini kerana Singapura menjadi tempat kurang menarik untuk syarikat terus melabur dan barangkali memilih untuk beroperasi di luar negara, di samping penyumberan luar di tempat lain, ujarnya.

Beliau berkata perniagaan perlu mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran dan mengubah model perniagaan, dan Singapura perlu mengekalkan daya saing ekonominya.

“Pemerintah telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membangunkan ekosistem yang menyokong pekerja di setiap langkah dalam kerjaya mereka, meskipun ketika adanya gangguan,” katanya.

“Sebagai rakan kongsi tiga pihak, kita juga perlu membuka ruang komunikasi dalam kalangan semua pihak – contohnya jika ada bahagian peraturan atau nasihat yang lapuk dan perlu dikemas kini untuk menangani kejadian (dalam era baru).”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg