Beberapa pemimpin masyarakat Melayu/Islam berpeluang berkongsi pandangan serta kebimbangan mereka bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam satu sesi dialog pada 21 Julai.

Dalam satu catatan Facebook pada 21 Julai, sehari selepas Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim melepaskan semua jawatan politik pada 20 Julai, Encik Zaqy berkata:

“Beberapa hari kebelakangan ini merupakan tempoh yang sukar bagi ramai anggota masyarakat Melayu/Islam.

“Dr Faishal telah menyentuh kehidupan ramai menerusi khidmat bakti yang dicurahkan selama bertahun-tahun dan jasa beliau amat dihargai masyarakat.”

Dalam menggalas amanah baharunya itu, Encik Zaqy berikrar untuk mendengar pandangan masyarakat, bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat serta rakan kongsi, di samping meneruskan usaha yang telah dibina Dr Faishal bersama banyak pihak selama ini.

“Saya bersyukur dapat memulakan amanah baharu ini dengan mendengar pandangan pemimpin masyarakat Melayu/Islam kita.

“Insya-Allah, saya akan terus mempererat kerjasama, dan melangkah seiring dalam usaha membina masa depan masyarakat kita,” ujar beliau.