Dedikasi Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim terhadap masyarakat terus dikenang oleh ramai orang yang menyaksikan sendiri bagaimana sokongan beliau terhadap pelbagai inisiatif yang diterajui penduduk telah membantu mengukuhkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum.

Menurut Setiausaha Majlis Jawatankuasa Kegiatan Melayu (MAEC) Nee Soon South, Cik Siti Roziah Pauzan, 60 tahun, mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu bukan sekadar seorang Anggota Parlimen (AP), malah seorang ‘wira masyarakat’.

Jika sebelumnya pelbagai program kejiranan seperti sambutan Hari Kebangsaan, sambutan hari jadi warga emas dan kegiatan masyarakat dijalankan dengan sumber terhad, selepas bantuan Dr Faishal, lebih banyak program dapat dilaksanakan selepas dirujuk kepada saluran sesuai, termasuk Persatuan Rakyat (PA), bagi mendapatkan geran dan bentuk sokongan lain.

“Atas rujukan beliau kepada saluran sesuai, kami dapat memohon geran, sekali gus membolehkan kami menganjurkan lebih banyak program untuk masyarakat.

“Apabila kita anjurkan program bersama, dengan sokongan pemerintah, kita dapat lihat sendiri bagaimana penduduk daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang berkumpul, berkenalan dan saling membantu. Lama-kelamaan, hubungan kejiranan menjadi lebih erat.

“Saya rasa kalau nampak beliau saja, semua orang hendak dekat dengannya. Orang tua, orang muda, kanak-kanak, Melayu, Cina, India... beliau rapat dengan semua,” kongsi Cik Siti Roziah.

Oleh itu, berita tentang Dr Faishal melepaskan semua jawatan politik berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksi dalam taliannya dengan seorang wanita telah menjadi kejutan ramai yang pernah bekerjasama atau mengenali beliau.

Beliau melepaskan jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), AP GRC Marine Parade-Braddell Heights dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Antara mereka yang terkejut dengan berita itu termasuk anggota Jawatankuasa M³ Jalan Besar, Cik Nursyazwani Muhammad Ya’kob, 41 tahun, seorang ejen hartanah.

“Sekiranya dakwaan salah laku itu benar, ia sememangnya perlu dipandang serius dan saya sudah tentu akan berasa kecewa.

“Namun pada masa sama, saya berharap masyarakat juga akan terus mengingati segala jasa serta kesan positif yang telah beliau tinggalkan menerusi khidmatnya kepada masyarakat selama bertahun-tahun.

“Saya mengakui beliau hanyalah seorang manusia dan, seperti kita semua, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kita boleh berasa kecewa terhadap tindakan seseorang, namun pada masa sama tetap mengiktiraf segala kebaikan dan sumbangan yang telah diberikannya,” katanya.

Antara kenangan yang masih diingati Cik Nursyazwani adalah kerjasama beliau bersama Dr Faishal dalam beberapa program kemasyarakatan di Wisma Geylang Serai, termasuk program ChiChi LaLa pada 2019 yang bertujuan menggalakkan pendidikan Islam awal kanak-kanak serta keibubapaan aktif.

“Apa yang paling meninggalkan kesan ialah bagaimana beliau benar-benar mengingati setiap orang yang pernah ditemuinya dan begitu mudah berinteraksi secara ikhlas dengan sesiapa sahaja.

“Oleh itu, saya berkongsi gembira apabila beliau kemudian dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 2025” katanya.

Pengalaman menarik juga dikongsi Pengasas platform teknologi, Gavelnet di Aria Data Labs, Encik Effendi Baba, 56 tahun.

“Pada 2019, Dr Faishal menghadiri satu acara di mana syarikat tempat saya bekerja diberi pengiktirafan atas sumbangan kami kepada masyarakat.

“Semasa sesi bergambar berkumpulan, beliau ternampak saya lalu tersenyum. Saya tidak anggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa. Lagipun, sudah menjadi lumrah bagi seorang ahli politik untuk senyum dan menyapa sesiapa sahaja dalam acara seumpama itu.

“Tiba-tiba, beliau menghampiri saya dari belakang lalu berkata, ‘Sudah lama saya tak nampak awak. Apa khabar?’

“Saya akui, saya benar-benar terkejut. Kadangkala, tanda pengiktirafan yang sekecil itu mampu meninggalkan kesan lebih mendalam daripada satu perbualan yang panjang,” kongsi Encik Effendi.

Turut melalui pengalaman manis bersama Dr Faishal ialah pemilik bersama kedai kopi Mak Itam’s Corner di Yishun, Encik Roslan Panick, 65 tahun.

Walaupun Dr Faishal telah dipindahkan ke GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas Pilihan Raya Umum 2025, beliau tidak pernah benar-benar meninggalkan Nee Soon, kata Encik Roslan.

“Walaupun beliau sudah berpindah, beliau masih datang. Lepas solat Jumaat dan tarawih, beliau singgah di kedai kopi, berbual dengan penduduk. Kami anggap beliau macam keluarga,” katanya.