Negara-negara tidak seharusnya menerima ancaman keselamatan maritim sebagai sesuatu yang lumrah, meskipun perdagangan global masih dapat diteruskan dengan menyesuaikan laluan perkapalan dan menanggung kos yang lebih tinggi.

Sebaliknya, usaha kolektif perlu dipertingkat bagi memastikan laluan perairan strategik kekal selamat dan tidak dijadikan alat tekanan atau paksaan oleh mana-mana pihak.

Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, ketika berucap dalam sesi pleno kelima Dialog Manama ke-22 di Bahrain pada 1 November.

Beliau mengingatkan bahawa gangguan di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab telah mendedahkan kelemahan dalam sistem maritim global, dengan kesan melangkaui rantau Timur Tengah hingga menjejas bekalan tenaga, perdagangan, makanan serta rantaian bekalan di Asia dan negara-negara Barat.

Hakikat bahawa kegiatan perkapalan masih diteruskan tidak bermakna perdagangan global berada dalam keadaan selamat, katanya.

Sebaliknya, kos sebenar ketidakamanan itu ditanggung pelaut yang berdepan risiko lebih tinggi, syarikat yang terpaksa menangani ketidaktentuan serta orang awam yang akhirnya menanggung kesannya.

“Kita berisiko menjadikan ketidakamanan sesuatu yang dianggap biasa sekiranya kita menerima risiko lebih tinggi, laluan perkapalan lebih panjang dan kos yang meningkat sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan,” katanya.

Encik Zaqy berkata kepentingan ekonomi bersama antara negara juga tidak semestinya menjamin keselamatan maritim, kerana negara-negara boleh saling bergantung dari segi ekonomi tetapi masih berbeza dari sudut kepentingan strategik.

Justeru, beliau menggesa negara-negara supaya membina kepercayaan bersama dan menterjemahkannya kepada keupayaan kolektif melalui kerjasama praktikal.

“Kerjasama tidak boleh hanya bermula apabila krisis tercetus. Kepercayaan dan kebiasaan bekerja bersama perlu dibina jauh lebih awal sebelum ia diuji,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk hak laluan transit di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) .

Menurutnya, prinsip yang mengawal laluan maritim perlu diterapkan secara konsisten, sama ada di Selat Hormuz, Selat Bab al-Mandab mahupun Selat Melaka dan Singapura.

Sebagai negara Asia Tenggara, Singapura bergantung kepada laluan laut yang terbuka dan selamat sebagai nadi ekonominya.

Beliau berkata tiada satu negara mampu menjamin keselamatan laluan maritim global secara bersendirian.

Antara usaha yang boleh dipertingkat termasuk perkongsian maklumat dan kesedaran situasi maritim, kesiapsiagaan untuk bertindak bersama serta perlindungan prasarana bawah laut yang semakin terdedah kepada ancaman siber dan serangan teknologi baharu seperti dron dan peluru berpandu.

Beliau turut mengetengahkan Pusat Gabungan Maklumat Singapura yang menghimpunkan 58 rakan antarabangsa dengan 163 rangkaian perhubungan bagi berkongsi maklumat keselamatan maritim.

Singapura juga bekerjasama dengan Indonesia, Malaysia dan Thailand menerusi Rondaan Selat Melaka bagi memperkukuh keselamatan laluan perkapalan serantau.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy turut menegaskan bahawa kerjasama pertahanan lebih mendalam diperlukan bagi memastikan lautan yang menghubungkan ekonomi dunia kekal sebagai laluan perdagangan dan peluang, bukan alat paksaan.

Beliau menghadiri Dialog Manama ke-22 dari 30 Oktober hingga 1 November 2026. Dianjurkan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), dialog tahunan itu merupakan forum keselamatan utama yang menghimpunkan pegawai kanan pertahanan, keselamatan dan ehwal luar dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran keselamatan di Timur Tengah dan rantau lain.

Singapura telah menyertai dialog tersebut sejak ia mula dianjurkan pada 2004.

Semasa berada di Bahrain, Encik Zaqy turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Pertahanan Bahrain, Leftenan Jeneral Abdullah bin Hassan Al Nuaimi, serta Penasihat Keselamatan Negara merangkap Komander Pengawal Diraja Pasukan Pertahanan Bahrain, Sheikh Nasser bin Hamad Al Khalifa.

Kedua-dua pertemuan itu mengesahkan semula hubungan pertahanan yang erat antara Singapura dengan Bahrain.

Di luar acara dialog tersebut, beliau turut bertemu Penasihat Keselamatan Negara kepada Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung Keselamatan Negara Greece, Dr Thanos Dokos, serta Pengerusi Lembaga Pusat Penyelidikan dan Pengajian Islam Raja Faisal Arab Saudi, Putera Turki Al Faisal Al Saud.

Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan global serta mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan
Zaqy kunjungi bilik berita BHOct 14, 2026 | 6:14 PM