Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Usaha akan terus dilakukan bagi dampingi, dan perkasa masyarakat Islam
Zaqy: Usaha akan terus dilakukan bagi dampingi, dan perkasa masyarakat Islam
Zaqy: Usaha akan terus dilakukan bagi dampingi, dan perkasa masyarakat Islam
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata beliau akan berkhidmat bersungguh-sungguh kepada masyarakat Islam sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru.
Bercakap kepada media pada 20 Julai beberapa jam selepas Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim meletak jawatan, Encik Zaqy memberi jaminan beliau akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan pemimpin masyarakat untuk meneruskan usaha mendampingi dan mendengar dengan lebih dekat aspirasi masyarakat, selain berusaha memenuhi amanah yang telah diberikan.
“Bersama rangkaian M3+, para relawan dan juga rakan-rakan masyarakat, saya akan terus memperkukuhkan usaha-usaha untuk membina sebuah masyarakat yang lebih teguh, bersatu hati, serta saling memperkasa agar setiap anggota masyarakat berpeluang untuk mencapai potensi terbaik mereka,” kata Encik Zaqy.
Pada 20 Julai, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa Dr Faishal telah meletak jawatan sebagai menteri, Anggota Parlimen (AP) dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Beliau turut mengumumkan bahawa Encik Zaqy akan mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Semasa bercakap dengan pihak media, Encik Zaqy berkata beliau “amat sedih” atas pengumuman bahawa Dr Faishal mengundurkan diri daripada politik “dalam situasi seperti ini”.
Beliau berkata ramai dalam kalangan masyarakat mengenali beliau sebagai seorang yang “sangat prihatin dan komited” dalam berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya sendiri berpeluang bekerjasama rapat dengan beliau selama 20 tahun dan baru-baru ini, dalam program Mendaki 2030 dan juga Tunas yang berteraskan usaha membina masa depan masyarakat secara bersama.
“Jadi, saya amat berdukacita dengan apa yang berlaku,” kata Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki.
Dalam satu catatan berasingan di Facebook, Encik Zaqy menambah, Dr Faishal merupakan seorang pemimpin yang berjaya membina hubungan yang erat dan berkekalan dengan ramai anggota masyarakat sepanjang bertahun-tahun beliau berkhidmat.
Encik Zaqy juga berkata beliau telah menyaksikan sendiri komitmen Dr Faishal terhadap pembangunan masyarakat Islam, hubungan yang beliau pupuk, serta kepercayaan yang beliau bina.
Beliau juga akur bahawa ramai dalam kalangan masyarakat berasa kecewa dan sedih sambil menekankan bahawa jasa dan sumbangan beliau kepada masyarakat akan sentiasa dikenang.
Namun begitu, beliau berkata masih banyak usaha penting yang perlu diteruskan dan mengajak masyarakat untuk membina di atas kemajuan yang telah dicapai bersama demi kesejahteraan dan masa depan masyarakat.
