Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Usaha dipertingkat sokong keluarga lebih terlibat dalam pembangunan anak
Mendaki turut lancarkan kit bermain, antara sumber sokongan untuk ibu bapa
Zaqy: Usaha dipertingkat sokong keluarga lebih terlibat dalam pembangunan anak
Sungguhpun kesedaran dalam kalangan keluarga Melayu/Islam di sini terhadap pendidikan awal kanak-kanak telah meningkat, lebih banyak usaha perlu dilakukan dalam memastikan keterlibatan ibu bapa secara aktif dan konsisten dalam pembangunan kanak-kanak.
Ini lebih-lebih lagi dengan lebih ramai pasangan muda yang perlu membesarkan anak sendiri, tanpa sokongan anggota keluarga lain, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Oleh demikian, beliau berkata Yayasan Mendaki dan Comlink – inisiatif nasional yang bertujuan meningkatkan mobiliti sosial – bekerjasama memenuhi keperluan tersebut dalam menyokong keluarga membesarkan anak bersama.
Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki, berkata demikian semasa ditemui media di acara Raikan Ilmu@Heartlands bagi kawasan Marsiling-Yew Tee anjuran Mendaki di Kelab Masyarakat Fuchun pada 26 September.
Kit bermain, atau Baby PlayKit, turut dilancarkan semasa acara itu, bertujuan membantu ibu bapa bermain bersama anak-anak kecil.
Kit itu dihasilkan dengan saranan daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan pakar dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak di bawah Rangkaian Profesional Mendaki.
“Kami dapat lihat lebih ramai pasangan dan keluarga Melayu/Islam (menyertakan anak mereka) dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Ini kerana secara saintifik, sebahagian besar kajian menunjukkan bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan tempoh penting dalam pembangunan minda mereka.
“Tetapi lebih daripada sekadar penyertaan atau kehadiran di prasekolah, (sama penting) ialah tahap keterlibatan ibu bapa dalam pembangunan anak,” kata Encik Zaqy.
Justeru, Baby PlayKit atau kit bagi ibu bapa itu memberi isyarat bahawa pertubuhan seperti Mendaki bersedia untuk menyokong ibu bapa membesarkan anak mereka, khususnya dalam aspek keterlibatan ibu bapa.
Ini sejajar dengan usaha pemerintah dalam membantu warga Singapura memulakan dan membesarkan keluarga, seperti yang diumum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada Ogos.
Encik Zaqy mengedarkan kit itu kepada pasangan dan keluarga dengan anak kecil yang hadir di acara itu, dengan sekitar 50 kit secara keseluruhan telah diedarkan bagi acara tersebut.
Menurut kenyataan Mendaki pada 26 September, ini kali pertama ia melancarkan kit sebegitu, yang disasarkan bagi ibu bapa dengan bayi atau kanak-kanak yang berusia hingga tiga tahun.
Encik Zaqy berkata kit tersebut memberikan mereka sumber rujukan yang dapat bantu memacu keterlibatan mereka dalam perkembangan anak.
Ini khususnya bagi pasangan yang mempunyai anak dalam lingkungan usia baru lahir hingga tiga tahun, kerana lingkungan usia sebegini perlu diasuh dengan baik, tambah beliau.
“Ramai dalam kalangan pasangan muda hari mereka tidak mempunyai ibu bapa yang (tinggal) bersama mereka.
“Bagi golongan ini, untuk menjaga anak atau menimang cahaya mata pertama, ia mungkin tidak begitu mudah.
“Ini berbanding (pasangan muda pada era) sebelum ini – mereka barangkali mempunyai dorongan daripada ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka,” ujarnya.
Kit tersebut mengandungi buku panduan ibu bapa dan sumber-sumber lain untuk menyokong pembangunan kemahiran bahasa, pemikiran, sosioemosi dan motor anak kecil.
Kemahiran motor merujuk kepada kemahiran dalam pergerakan tubuh badan.
Sebanyak 5,000 kit akan dihasilkan dan ia akan diedarkan secara berperingkat melalui beberapa saluran, kata Mendaki, sambil menambah bahawa ia merupakan antara usaha badan itu menjangkau masyarakat dari peringkat awal.
Antara hadirin di acara itu, Cik Amiera Natasha Mohd Armiyn, 28 tahun, berkata sebagai ibu yang baru menimang cahaya mata pertama, kit tersebut berguna untuk beliau dan pasangannya, Encik Syahmi Rashid, 40 tahun, dan dapat membantu dalam membesarkan anak perempuannya berusia sembilan bulan, Sara Syahmi, semasa peringkat perkembangan berbeza.
Cik Amiera Natasha berkata: “Pada peringkat usia ini, anak saya dah tahu merangkak.
“Jadi kami ingin membina kemahiran anak kami untuk memberikan tumpuan menggunakan sumber yang disediakan daripada kit ini.