Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menyatakan penghargaannya selepas cadangan yang beliau bangkitkan di Parlimen dua tahun lalu kini telah dilaksanakan.
Pada 3 Oktober 2023, beliau mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem bagi membolehkan orang ramai mengesahkan kesahihan sijil halal.
Dua tahun kemudian mulai 1 Oktober, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah melancarkan sistem sijil halal dengan kod QR bagi tujuan pengesahan – cadangan yang pertama kali dikemukakan oleh Encik Zhulkarnain itu di Parlimen pada 2023.
“Ketika itu, saya merujuk kepada bagaimana sistem kehakiman Singapura sudah pun menggunakan kaedah sama bagi mengesahkan kesahihan perintah mahkamah melalui laman Arahan Mahkamah Sahih (ACO),” kata beliau dalam satu catatan Instagram pada 1 Oktober.
Beliau menambah bahawa langkah ini lahir daripada maklum balas dan kebimbangan penduduk yang diterimanya pada 2023, dan ia akan mengukuhkan kepercayaan serta keyakinan pengguna terhadap sijil halal.
Kod QR tersebut membolehkan pengguna mengakses butiran terkini mengenai status sijil halal, sama ada masih sah atau telah luput, serta memberi saluran terus untuk melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang.
“Bagi pengguna korporat, ini juga penting dari segi audit dan kebertanggungjawaban,” jelas Encik Zhulkarnain semasa dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya lagi, langkah ini bukan sahaja membantu pengguna, tetapi juga memberi jaminan tambahan kepada para peniaga yang telah melabur masa dan sumber untuk memenuhi syarat pensijilan halal, kerana ia mencegah pemalsuan, pelanggaran hak harta intelek dan penyamaran perniagaan.
Pada 25 September, BH melaporkan bahawa kedai makanan halal secara bertahap akan mula menampilkan sijil halal terkini yang mengandungi kod QR, bermula 1 Oktober.
Pengguna boleh mengimbas kod tersebut dan akan diberikan akses serta-merta kepada butiran pensijilan, antaranya mengesahkan sama ada sijil halal itu tulen dan ia masih sah.
Ini bermakna, sekiranya terdapat penyalahgunaan sijil halal, pengguna boleh langsung memberitahu Muis melalui kod tersebut agar mereka dapat mengambil tindakan.
Muis dalam kenyataannya pada 24 September berkata, sijil digital ini melambangkan langkah penting ke arah ketelusan, keutuhan dan ketercapaian dalam sistem pensijilan halal negara.
Ia juga sebahagian daripada usaha pendigitalan Muis untuk memperkemas proses pentadbiran, meningkatkan kecekapan operasi, serta memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab pensijilan halal global.
Dengan pelaksanaan sijil digital, permohonan baru atau pembaharuan sijil dijangka mengambil purata enam minggu atau 30 hari bekerja, manakala pindaan kepada sijil pula mengambil masa purata dua minggu atau 10 hari bekerja.
Semua kedai makan dijangka memiliki sijil halal digital menjelang suku kedua 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg