Kumpulan pertama empat penerima biasiswa peringkat sarjana muda dari Palestin kini berada di Singapura untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seperti sains komputer, kejuruteraan dan sains bandar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Demikian menurut Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dalam satu catatan Facebook pada 28 September.

Encik Zhulkarnain menambah bahawa pengenalan biasiswa peringkat sarjana muda ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).

Di bawah Etap – yang diperkenalkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 2013 dengan $5 juta dan kemudian digandakan pada 2016 kepada $10 juta – pegawai Penguasa Palestin (PA) ditaja Singapura untuk menyertai lawatan pembelajaran dan kursus pembangunan kapasiti melalui Program Kerjasama Singapura.

“Ini juga merupakan sumbangan kecil tetapi bermakna daripada Singapura terhadap pembangunan kapasiti Palestin, dengan melabur dalam modal insan, pengetahuan dan kemahiran yang mampu memberikan kesan berpanjangan.

“Menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap), lebih 800 pegawai Palestin telah mendapat manfaat daripada tajaan biasiswa, kursus latihan dan lawatan sambil belajar.

“Pengenalan biasiswa peringkat sarjana muda menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha ini,” kata Encik Zhulkarnain.

Empat mahasiswa sarjana muda itu adalah sebahagian daripada kumpulan tujuh pelajar yang berasal dari Gaza, Jenin, Hebron, Nablus, Ramallah dan bandar-bandar lain di Palestin.

Dalam catatan yang sama, Encik Zhulkarnain juga berkongsi yang beliau berbesar hati dapat meraikan penerima biasiswa tersebut dalam satu majlis makan malam pada 18 September.

Menurutnya, mereka telah berbual mengenai kehidupan di Singapura, pengalaman di tanah air, serta matlamat pendidikan dan cita-cita untuk masa depan.

Selain itu Encik Zhulkarnain turut melahirkan harapan agar para pelajar tersebut dapat merasai “kemesraan dan sifat ramah rakyat Singapura, menimba ilmu daripada pengalaman pembangunan Singapura sendiri, serta membina persahabatan dan kenangan yang akan kekal bersama mereka hingga ke akhir hayat selepas tamat pengajian kelak”.

Secara berasingan, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata Singapura telah menyediakan 15 biasiswa peringkat possiswazah kepada pegawai Penguasa Palestin (PA).

Beliau berkongsi perkara itu di Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang berlangsung di Manila, Filipina pada 22 Julai.

“Kami berharap dapat menyambut kedatangan kumpulan perintis penerima biasiswa sarjana muda Palestin pada bulan depan di Singapura, bersama dengan dua penerima biasiswa peringkat possiswazah bagi tahun akademik yang akan datang,” kata Dr Balakrishnan ketika itu.

Dr Balakrishnan menambah bahawa 16 pegawai polis awam Palestin turut berada di Singapura pada minggu itu untuk menghadiri suatu kursus kepolisan masyarakat yang dikendalikan bersama oleh Singapura dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.