Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan semula komitmen Singapura untuk menyokong pembangunan Penguasa Palestin (PA) semasa satu persidangan di Manila pada 22 Julai.

Beliau turut bertemu seorang pemimpin Palestin semasa di sana untuk membincangkan prospek keamanan jangka panjang.

Dr Balakrishnan berada di ibu negara Filipina itu untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Ehwal Luar Asean ke-59, dan pada 22 Julai, menyertai Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD). 

Dilancarkan oleh Jepun pada 2013, CEAPAD merupakan platform bagi negara-negara serantau membincangkan bantuan pembinaan keupayaan bagi rakyat Palestin.

Beliau menegaskan semula sokongan Singapura terhadap usaha pembinaan keupayaan PA menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) bernilai $10 juta, yang telah menyediakan latihan, lawatan kajian dan biasiswa bagi rakyat Palestin.

Beberapa inisiatif latihan dan pendidikan di bawah Etap termasuk biasiswa possiswazah di Singapura, kursus latihan bahasa Inggeris bagi pegawai PA, dan modul latihan keusahawanan digital, kata Dr Balakrishnan dalam satu ucapan pada mesyuarat CEAPAD, yang turut dihadiri menteri ehwal luar Jepun dan Filipina.

Sekurang-kurangnya 800 pegawai Palestin telah menyertai lawatan kajian atau kursus latihan ini di bawah Etap, yang bermula pada 2013, tambahnya, termasuk 15 biasiswa possiswazah yang diberikan kepada pelajar Palestin di universiti Singapura.

Dr Balakrishnan menambah bahawa 16 pegawai polis awam Palestin turut berada di Singapura minggu ini untuk menghadiri suatu kursus kepolisan masyarakat yang dikendalikan bersama oleh Singapura dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.

Dr Balakrishnan bertemu Menteri Pembangunan Sosial PA, Cik Samah Hamad, dan bertukar pandangan mengenai situasi politik dan kemanusiaan di Gaza. 

Singapura telah menyumbangkan sekurang-kurangnya 11 kelompok bantuan kemanusiaan bernilai AS$19 juta ($24.5 juta) kepada Jaluran Gaza yang dilanda peperangan sejak Oktober 2023.