Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025, yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September, dengan Singapura sebagai tuan rumah Singapura, bakal menonjolkan suara baru dalam dunia kesusasteraan dan menyokong pertumbuhan generasi baru sasterawan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, yang juga Timbalan Pengerusi MBMS, berkata demikian semasa sidang media MBMS di Bangunan Perpustakaan Negara pada 18 Julai.
Mengulas lanjut, Dr Azhar berkata Mastera akan menyediakan wadah bagi penulis muda mengetengahkan karya mereka, berinteraksi dengan penulis mapan serantau, serta menyertai pertukaran sastera yang dapat memperluas pandangan dan memperkukuh kemahiran mereka.
Acara tersebut turut merangkumi forum antara generasi, bengkel penulisan dan bacaan puisi, semuanya bertujuan menggalakkan penglibatan belia dan memperkukuh kehadiran mereka dalam landskap kesusasteraan serantau.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas sidang tersebut, Dr Azhar berkata: “Setiap kali negara anggota menganjurkan program Mastera seperti bengkel penulisan, pementasan atau pembentangan kertas kerja, kita galakkan penyertaan sasterawan tempatan.
“MBMS akan kenal pasti, pilih dan bantu penulis kita untuk tampil ke peringkat serantau, termasuk dalam hal pembiayaan.
“Ini penting agar mereka bukan sahaja menjadi penonton, tetapi pemain dalam perkembangan sastera serantau.”
Tema tahun ini, ‘Sastera Selatan Antarabangsa’, akan menjadi fokus utama Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat), yang berlangsung pada 9 dan 10 September di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara.
Empat sesi panel akan menampilkan sarjana dan penulis dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura, yang akan membincangkan evolusi dan kesan gerakan sastera selatan dalam konteks sejagat.
Dr Azhar turut menegaskan bahawa Mastera bukan sekadar wadah kerjasama serantau, malah jambatan penting antara generasi.
“Mastera bukan hanya tentang karya, ia satu wadah perbincangan dan perhimpunan golongan yang berkongsi minat serupa (terhadap sastera).
“Ia harus menghubungkan bukan sahaja antara negara, tetapi antara generasi. Di situlah nilai sebenarnya iaitu merapatkan jurang, mewariskan pemikiran dan mengekalkan kesinambungan intelektual.”
Mengakui minat membaca dalam format tradisional semakin berkurangan, beliau akur terdapat peluang yang wujud dalam era digital, di mana wadah baru telah membuka ruang penyertaan yang segar.
“Memang cabaran besar untuk tarik minat anak muda.
“Tapi pada masa yang sama, kita lihat mereka aktif di TikTok, Instagram, bercakap tentang puisi, tentang identiti.
“Dunia digital bukan penghalang; ia adalah peluang,” ujarnya.
Salah satu acara kemuncak Mastera ialah penyampaian Hadiah Terjemahan Mastera semasa Sidang Umum ke-29.
Pemenang dari setiap negara anggota akan menerima trofi dan hadiah wang tunai $3,000 sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan dalam penterjemahan karya sastera, satu usaha penting dalam memperluas capaian serta pemahaman silang budaya.
“Sastera harus mengajak kita melihat visi yang lebih besar.
“Ia menggembleng sumber dalam masyarakat dan memasyarakatkan sastera sebagai sebahagian daripada kehidupan.
“Ini bukan kerja semusim, ini kerja berterusan yang perlukan sokongan nasional dan serantau.”
“Lewat sastera, kita bukan sahaja menulis – kita membina tamadun, menyemai empati dan mencipta ruang pemahaman antara budaya,” kata Dr Azhar lagi.
Menjelang acara utama, MBMS juga akan menganjurkan Hari Mastera pada 16 Ogos, sebagai tanda permulaan peranan Singapura selaku tuan rumah serta pelancaran Bulan Bahasa 2025.
“
“Mastera bukan hanya tentang karya, ia satu wadah perbincangan dan perhimpunan golongan yang berkongsi minat serupa (terhadap sastera). Ia harus menghubungkan bukan sahaja antara negara, tetapi antara generasi. Di situlah nilai sebenarnya iaitu merapatkan jurang, mewariskan pemikiran dan mengekalkan kesinambungan intelektual.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg