Topik diikuti
Pergi ke BHkuZhulkarnain: S’pura, Indonesia sepakat perkukuh kerjasama, komunikasi terbuka
S'pura perlu terus perkukuh daya tahan negara, pelbagaikan sumber tenaga dan bekalan penting
Zhulkarnain: S’pura, Indonesia sepakat perkukuh kerjasama, komunikasi terbuka
Singapura dan Indonesia komited di kepimpinan peringkat tertinggi untuk memastikan komunikasi terbuka dan kerjasama erat bagi menangani cabaran bersama seperti jerebu rentas sempadan yang telah menjejas kededua negara.
Lawatan delegasi Singapura ke Indonesia dari 27 hingga 29 Oktober juga telah menunjukkan peri pentingnya Singapura terus memperkukuh daya tahan negara, khususnya dalam mempelbagaikan sumber tenaga dan bekalan penting.
Ini bagi memastikan keperluan negara dapat dipenuhi dalam jangka panjang, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa berucap dalam bahasa Melayu kepada pihak media Singapura pada 28 Oktober.
“Perdana Menteri Lawrence Wong dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, lebih komited untuk mengadakan hubungan dua hala dan perbincangan ataupun kolaborasi yang terbuka dan langsung antara kedua-dua pucuk kepimpinan.
“Melalui kerjasama yang lebih erat, adalah diharapkan agar isu-isu rentas sempadan yang dikongsi sesama manusia dapat diatasi, sekali gus menghadapi cabaran bersama sebagai satu Singapura dan satu Indonesia,” katanya.
Encik Zhulkarnain merupakan antara anggota delegasi Singapura, diketuai oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke ibu kota Indonesia itu.
Lawatan itu diadakan ketika Singapura dan Indonesia sedang berusaha menangani beberapa isu dua hala, termasuk masalah jerebu akibat kebakaran di Indonesia serta pengurangan bekalan gas asli melalui saluran paip ke Singapura.
Sepanjang lawatan itu, delegasi Singapura berpeluang mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo, dan Menteri Luar negara itu, Encik Arrmanatha Nasir, yang baru dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Oktober.
Semasa menemui pihak media, Encik Zhulkarnain berkata Singapura dan Indonesia bukan sekadar jiran yang dekat, malah sahabat akrab dan rakan kongsi yang perlu terus memperkukuh hubungan dua hala.
Pada 27 Oktober, Dr Balakrishnan dan rakan sejawatannya, Encik Arrmanatha, telah mengumumkan persetujuan untuk menubuhkan satu pasukan petugas bersama bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.
Pasukan itu bertujuan memudahkan pertukaran maklumat dan penyelarasan antara kedua-dua negara.
Ini termasuk usaha mencegah syarikat daripada melakukan kegiatan yang menyebabkan jerebu serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
Dr Balakrishnan berkata jerebu telah menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan keluarga di Singapura sejak beberapa minggu lalu, dan pemerintah perlu bertindak untuk menangani keadaan itu.
Semasa menemui pihak media pada 28 Oktober, Dr Balakrishnan berkata masalah rentas sempadan memerlukan komunikasi langsung di peringkat tinggi.
Ia termasuk pertemuan bersemuka bagi membolehkan kedua-dua pihak menjelaskan kebimbangan serta mencari penyelesaian bersama.
Beliau turut menekankan bahawa Singapura, Indonesia dan Malaysia merupakan jiran tetap yang saling bergantung antara satu sama lain dan akan terus berdepan cabaran bersama, termasuk jerebu dan pandemik.
“Apabila masalah sebegini timbul, pastinya akan wujud perbezaan dari segi keutamaan dan pendekatan, malah kadangkala, terus terang dikatakan, turut melibatkan isu politik dan polemik.
“Namun, pada saat-saat sebeginilah, penting untuk kita kekal tenang, mengadakan perbincangan yang terus-terang, jujur, terbuka dan membina, serta bersama-sama mencari satu pendekatan kolektif,” katanya.