Masyarakat Singapura perlu terus meneroka pendekatan kreatif dan menarik bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat agar mereka berpeluang mengenali, menghayati dan menghargai kekayaan bahasa serta budaya Melayu.

Ini dapat dilakukan melalui kerjasama erat dengan rakan kerja lain untuk memperkenalkan idea baharu dan mewujudkan pengalaman yang lebih bermakna bagi para penonton dan peserta, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Berucap semasa Majlis Penghargaan Bulan Bahasa 2026 pada 12 November di Wisma Geylang Serai, Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), menekankan peri pentingnya memberi tumpuan kepada golongan belia dan keluarga muda.

“Rumah merupakan tempat pertama kita mula mengenali bahasa ibunda, melalui perbualan dan cerita yang dikongsi bersama ibu bapa serta datuk dan nenek.

“Dengan menggunakan bahasa Melayu sejak usia muda, kita dapat memupuk hubungan yang lebih erat dan bermakna dengan bahasa ibunda,” kata Encik Zhulkarnain.

Semasa majlis itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerja yang telah menyumbang kepada penganjuran Bulan Bahasa 2026 yang berlangsung daripada 14 Ogos hingga 11 Oktober.

Ketika ditemui media, Encik Zhulkarnain mendedahkan bahawa jumlah penyertaan program Bulan Bahasa 2026 mencecah sebanyak 104,000 peserta dan penonton – yang tertinggi dalam tempoh enam tahun yang lalu.

Beliau menambah bahawa sokongan akar umbi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) turut melonjak sebanyak 45 peratus berbanding 2025.

Mengulas tentang pencapaian program tersebut, Encik Zhulkarnain berkata kekuatan dan kesan Bulan Bahasa bukan sahaja terletak dalam bilangan peserta yang didekati, bilangan rakan kerja yang terlibat, ataupun jumlah program yang dianjurkan.

Malah, yang lebih penting, katanya, adalah sejauh manakah program Bulan Bahasa telah membawa perubahan yang bermakna bagi masyarakat, dan sama ada program itu telah berjaya menyemarakkan minat masyarakat terhadap bahasa Melayu.

“Kita berharap agar program ini dapat meningkatkan keyakinan lebih ramai orang agar menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Sama ada di rumah, di sekolah, di tempat kerja mahupun ketika bersama rakan, setiap perbualan merupakan peluang untuk memastikan bahasa kita terus hidup.

“Melalui interaksi seharian inilah bahasa Melayu akan kekal relevan dan bermakna dalam masyarakat kita,” kata Encik Zhulkarnain.

Beliau berkata jawatankuasa Bulan Bahasa juga ingin memahami dengan lebih mendalam pengalaman para peserta yang menyertai program yang dianjurkan, serta bagaimana pengalaman tersebut dapat memupuk penghargaan yang berterusan terhadap bahasa Melayu.

Meskipun Bulan Bahasa 2026 sudah berakhir, Encik Zhulkarnain berharap masyarakat akan meneruskan momentum Bulan Bahasa dengan menyediakan lebih banyak peluang bagi masyarakat untuk terus mendekati dan mendalami bahasa Melayu.

“Kita berharap agar semangat dan kecintaan terhadap bahasa Melayu terus subur meskipun sambutan Bulan Bahasa telah berakhir,” kata Encik Zhulkarnain.

“Pengalaman yang diperoleh melalui program Bulan Bahasa diharapkan dapat mendorong para peserta untuk lebih kerap menggunakan bahasa Melayu, serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka bersama keluarga dan rakan-rakan.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti