Pengunjung ke acara Bulan Bahasa 2026 boleh menikmati lebih banyak peluang untuk menyelami program berunsur teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa Melayu.

Kempen yang akan berlangsung daripada 14 Ogos hingga 11 Oktober itu juga akan memberi lebih tumpuan kepada penglibatan belia, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Bercakap pada sidang media Bulan Bahasa 2026 di The Pod, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 17 Julai, Encik Zhulkarnain berkata langkah tersebut seiring dengan trend penggunaan teknologi canggih yang semakin berleluasa dalam kalangan golongan muda hari ini.

“Dengan perkembangan elemen teknologi digital dan AI, kita harus lihat bagaimana kita boleh memanfaatkan alat ini dengan baik dalam lapangan bahasa kita,” kata Encik Zhulkarnain, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa 2026.

“Ia dapat dilihat menjadi 'pembantu’ yang baik dalam menggalakkan pembelajaran bahasa Melayu, menghasilkan karya dalam bahasa Melayu serta kemahiran terjemahan dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi golongan belia.”

Dengan kerjasama rakan kongsi Bulan Bahasa 2026, Encik Zhulkarnain berkata kempen tersebut akan mendekati belia melalui kegiatan seperti seni, budaya dan teknologi.

Melihat belia sebagai pewaris dan penaung bahasa Melayu dalam masa akan datang, beliau berharap kempen itu akan terus mengekalkan kerelevanan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian anak muda.

Memetik kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dijalankan pada 2024, Encik Zhulkarnain berkata lebih 90 peratus orang Melayu masih fasih berbahasa Melayu, namun, “tidak boleh selesa dengan perangkaan ini”.

“Hasil kajian tersebut menunjukkan masyarakat Melayu semakin yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu,” kata Encik Zhulkarnain ketika bercakap dengan Berita Harian (BH).

“Namun, dengan keadaan dan keperluan sejagat yang tidak menentu hari ini, kita harus sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri untuk fasih berbahasa, khususnya berdwibahasa, bagi kepentingan komunikasi dan perhubungan serantau.”

Semasa acara tersebut, Encik Zhulkarnain turut mengumumkan pelantikan dua lagi Duta Bahasa bagi kempen Bulan Bahasa 2026 – Cik Anis Qurratu’aini Azman, 36 tahun, dan Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, 25 tahun.

Cik Anis merupakan seorang penggiat seni manakala Encik Kamal Ashraf seorang lulusan jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).