Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zika: 500 perangkap nyamuk diletak di tapak binaan tempat pekerja dijangkiti

Aug 30, 2016 | 2:45 PM
Pekerja melakukan pengabutan dengan racun serangga pada Selasa (30 Ogos) di keliling tapak binaan tempat kes jangkitan Zika ditemui di Singapura.
Pekerja melakukan pengabutan dengan racun serangga pada Selasa (30 Ogos) di keliling tapak binaan tempat kes jangkitan Zika ditemui di Singapura. - REUTERS

PIHAK berkuasa telah meningkatkan pemeriksaan di tapak kerja sekitar Singapura selepas 39 pekerja di tapak binaan di Sims Drive dijangkiti virus Zika.

Kontraktor utama Woh Hup telah memasang kira-kira 500 perangkap nyamuk - bertambah daripada 50 - di sekitar dormitori pekerja dan seluruh tapak binaan kondominium Sims Urban Oasis sejak kes Zika dilaporkan minggu lepas.

Pekerja dikehendaki memeriksa suhu badan mereka dua kali sehari, manakala tiga lapisan perlindungan telah dikuatkuasakan: penghalau nyamuk, tampalan penghalau nyamuk dan tampalan penghalau nyamuk jangka panjang Parakito.

Jaring juga telah ditambah bagi tingkap dormitori.

Langkah-langkah tambahan tersebut dipantau Menteri Negara (Tenaga Manpower), Encik Teo Ser Luck, yang melawat tapak di 60 Sims Drive itu pada pagi Selasa (30 Ogos).

"Kami agak gembira mereka mengukuhkan langkah-langkah pencegahan dan mereka memastikan setiap pekerja memahami betapa seriusnya isu ini," kata Encik Teo kepada media, sambil menambah kementeriannya telah menyampaikan nasihat kepada pengusaha tapak dan akan meningkatkan pemeriksaan.

"Semua pengendali perlu memperkukuh langkah-langkah pencegahan mereka sekarang untuk memberi jaminan kepada masyarakat, juga pekerja di tapak, bahawa walaupun gejalanya mungkin ringan, kita tidak boleh mengambil sambil lewa."

Beliau menambah: "Bagi mereka yang sedikit lebih cuai dalam bidang ini, kami akan bekerjasama dengan anda tetapi kami boleh mengambil tindakan terhadap anda jika anda tidak mengambil langkah-langkah pencegahan kerana ia satu isu amat serius."

Satu Perintah Berhenti Kerja dikeluarkan ke atas tapak seluas 23,000 meter persegi itu Sabtu lalu, selepas kerja penyenggaraannya didapati tidak memuaskan, dengan potensi nyamuk membiak.

Sebanyak 37 kes Zika pertama ditemui minggu lalu berpunca dari tapak tersebut, dengan seorang pekerja warga Singapura berusia 30 tahun mengalami demam dan ruam.

Beliau dirawat di Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) di Hospital Tan Tock Seng Sabtu lepas. Tujuh daripada pekerja asing juga dimasukkan ke CDC, manakala selebihnya telah pulih sepenuhnya.

Pada Isnin, dua pekerja dari tapak itu dijangkiti. Tiada kes demam baru ditemui pada Selasa, kata jurucakap Woh Hup.

Seramai 118 orang yang bekerja di tapak itu telah diuji bagi Zika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg