Zuraidah dilantik anggota Majlis Amal mulai 1 Mac
Tiga anggota baru lain turut dilantik
Duta Singapura ke Oman (Bukan Pemastautin) yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, dilantik sebagai salah seorang daripada empat anggota baru Majlis Amal ke-10 dan akan berkhidmat dalam majlis itu mulai 1 Mac hingga 28 Februari 2029.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan pada 20 Februari menyatakan Cik Zuraidah merupakan antara anggota baru yang dilantik bagi menyuntik kesegaran dan membawa pengalaman bermakna kepada majlis itu.
Majlis Amal bagi penggal terbaru itu akan dipengerusikan Pengasas Pengurusan 360 Dynamics, sebuah agensi pengambilan pekerjaan, Cik Theresa Goh, yang bakal memegang jawatan itu buat penggal kedua.
Cik Zuraidah enggan mengulas berkenaan pelantikannya itu apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, berkata:
“Dengan gabungan kekuatan anggota berpengalaman dan pelantikan (anggota) baru yang membawa perspektif baru, Majlis Amal berada pada kedudukan baik untuk memacu pertumbuhan berterusan dalam sektor tersebut dan membolehkan badan-badan amal terus memenuhi keperluan masyarakat kita yang sentiasa berubah, dengan lebih baik.”
Selain Cik Zuraidah, MCCY berkata tiga anggota baru lain yang dilantik termasuk Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Singtel, Encik Arthur Lang; Ketua bagi Penasihat Kedermawanan Temasek Trust, Encik Dickson Lim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Barah Singapura, Encik Tan Kwang Cheak.
Enam anggota lain merupakan anggota semasa majlis, yang terdiri daripada Encik Gregory Vijayendran, Profesor Robbie Goh Boon Hua, Encik Steven Chia, Cik Tammie Tham, Encik Kanna Kannappan dan Cik Tea Wei Li.
Anggota Majlis Amal dilantik oleh MCCY.
Ia juga berperanan sebagai pendaya bagi membina keupayaan dan kecekapan badan amal dan Institusi Bertaraf Awam (IPC), serta meningkatkan pematuhan dan prestasi badan sedemikian sambil mengukuhkan kepercayaan orang ramai.
Ini di samping berperanan sebagai penasihat kepada Pesuruhjaya Pertubuhan Amal (COC) agar COC sedia maklum tentang isu kawal selia utama dan kes penting bagi membuat keputusan lebih mantap.
Majlis Amal semasa bakal berakhir penggalnya pada 28 Februari.
Ia terdiri daripada 15 anggota, termasuk pengerusi majlis.

