ITALY: Pusingan yang menyaksikan Max Verstappen mencatat rekod baru dalam sejarah Formula Satu (F1) ketika meraih petak pertama di Grand Prix Italy pada 7 September telah mengatasi pencapaian kereta lalu yang masih dianggap antara paling laju dalam sejarah sukan F1.
Bukan sahaja Verstappen, malah Lando Norris dari McLaren, juga pernah berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh Lewis Hamilton ketika beliau masih memandu untuk Mercedes di perlumbaan sama pada 2020.
Kereta lumba dahulu direka mengikut peraturan yang berbeza dan kebiasaannya masih memegang rekod pusingan terpantas di kebanyakan litar.
Norris menjadi pelumba pertama mengatasi catatan masa Hamilton (1 minit 18.887 saat), dengan catatan masa 1 minit 18.869 saat.
Tetapi Verstappen memecahkan rekod itu apabila beliau melepasi garisan penamat dan mencatat masa lebih pantas, 1 minit 18.792 saat.
Rekod tersebut tercapai hasil gabungan beberapa faktor.
Kereta generasi sekarang menghasilkan kurang seretan (drag) berbanding model 2020, menjadikannya lebih laju di laluan lurus, dan Monza merupakan antara litar yang membolehkan pemandu mencapai kelajuan tertinggi mereka.
Selain itu, permukaan litar Monza telah diturap semula sebelum perlumbaan 2024, dan permukaan baru itu meningkatkan cengkaman tayar berbanding permukaan asfalt lama yang Hamilton gunakan untuk mencatat rekod sebelum ini.
“Saya jujurnya tak terfikir langsung tentang rekod tersebut apabila melepasi garisan penamat, tapi sudah tentu ia sesuatu yang baik. Memang seronok memandu kereta generasi sekarang,” kata pemandu Red Bull itu.
“Di selekoh berkelajuan tinggi, kereta ini memang bagus. Dan ia agak laju di laluan lurus.”
“Cuma apabila masuk selekoh kelajuan perlahan, kita memang kalah dengan generasi kereta sebelum ini. Tapi betul, di sesetengah litar, kita boleh pecahkan rekod pusingan.”
“Tambahan pula, turapan baru dan penggunaan kerb yang baik turut membantu. Kerana kerb sekarang lebih terbuka.”
“Saya rasa jika kami letak kereta Mercedes 2020 di litar sekarang pun ia masih lagi lebih laju, tapi secara keseluruhan, memang menyeronokkan.
“Ada litar yang lebih seronok untuk berlumba dari yang lain.”
Catatan masa Verstappen itu menyambung tradisi panjang pusingan paling pantas yang sering dicipta di Monza.
Sebelum Hamilton, Kimi Raikkonen, memegang rekod dengan catatan masa petak utama untuk Ferrari pada 2018.
Itu pula menewaskan rekod terdahulu yang bertahan selama 14 tahun yang dicatat oleh Juan Pablo Montoya dari Colombia dalam kereta Williams dengan enjin BMW V10 pada 2004, dengan purata kelajuan 262.23 km/jam.
Masih ada dalam kalangan peminat F1 yang rindu akan bunyi enjin V10 ketika itu kerana ia tidak menggunakan turbo atau sistem hibrid seperti sekarang.
Ia juga boleh mencapai putaran sehingga 20,000 rpm, menghasilkan bunyi yang menggetarkan jiwa.
Inilah sebahagian sebab kenapa Presiden Badan Induk F1 (FIA), Mohammed Ben Sulayem, sedang berusaha mengembalikan enjin aspirasi semula jadi, dan di Italy, terdapat perkembangan baru mengenai usaha tersebut.
Sebelum itu, rekod pusingan terpantas dipegang oleh Keke Rosberg, dalam kereta Williams di Grand Prix Britain 1985 perlumbaan pertama yang memecah kelajuan 257 km sejam dengan catatan 258.94 km sejam.
Yang lebih mengagumkan, Rosberg, juara dunia 1982, mencatat masa itu dengan tayar belakang yang sebenarnya sedang mengalami kebocoran.
Melihat keadaan sekarang, rekod Verstappen mungkin dapat kekal lama.
Tahun akan datang bakal menyaksikan peraturan baru untuk casis dan enjin, dan dijangka kereta-kereta menjadi sekitar dua saat lebih perlahan setiap pusingan tetapi mungkin lebih laju di laluan lurus. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg