Peminat Formula Satu (F1) membanjiri kedai Puma di 313@somerset pada tengah hari 30 September, dengan harapan dapat melihat bintang Ferrari, Charles Leclerc.
Para peminat mula berkumpul di situ satu jam sebelum kehadiran Leclerc, siap dengan kemeja Ferrari.
Pusat beli belah itu meriah dengan sorakan apabila pemandu dari Monaco itu tiba di kedai pakaian Puma, yang merupakan penajanya.
Pemandu berusia 27 tahun itu menawan para peminatnya dengan senyuman manis dan lambaian, bahkan kelihatan tenang dan bersemangat.
Walaupun mendapat tempat di podium sebanyak lima kali, Leclerc belum mencapai kemenangan dalam musim F1 2025 dan berazam mengubah itu dalam Grand Prix (GP) Singapura, yang akan berlangsung di Litar Perlumbaan Marina Bay pada 3 hingga 5 Oktober.
“Musim ini sangat sukar. Saya rasa kami belum mencapai prestasi yang kami inginkan sebagai satu pasukan,” kata Leclerc kepada The Straits Times (ST).
“Saya amat gembira dengan prestasi saya dan benar-benar berharap dapat membawa Ferrari ke puncak kejayaan dan akan menang lagi, dan saya berharap ia akan bermula hujung minggu ini di Singapura – ia satu trek yang saya cintai (dan merupakan) salah satu trek kegemaran saya musim ini.”
Walaupun Leclerc – yang sudah muncul sebagai juara dalam lapan perlumbaan – belum pernah memenangi GP Singapura, beliau mempunyai rekod yang hebat di litar perlumbaan malam Marina Bay.
Selain menduduki tempat kesembilan untuk pasukan Sauber pada 2018, beliau menduduki lima tempat teratas dalam empat perlumbaan dengan Ferrari.
Leclerc juga hampir meraih kemenangan dua kali, pada 2019 dan 2022.
Beliau memulakan kededua perlumbaan itu dari petak pertama tetapi terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua.
Pada 2019, Leclerc menamatkan perlumbaan di belakang bekas rakan sepasukannya, Sebastian Vettel.
Tiga tahun kemudian, Leclerc hilang kedudukannya kepada pemandu Red Bull, Sergio Perez, sebelum selekoh pertama dalam pusingan pertama lalu menamatkan perlumbaan itu di tempat kedua juga.
Kelajuan Leclerc di trek GP Singapura yang sempit tidak pernah dinafikan, tetapi ia tidak cukup untuk menentukan kemenangannya.
Bahagian lurus yang pendek, banyak corner hampir 90 darjah dan sedikit saja peluang untuk menggunakan sistem pengurangan seretan angin (DRS) untuk meningkatkan kelajuan antara ciri-ciri trek Marina Bay yang menjadikannya trek yang sangat mencabar untuk pemandu mengatasi satu sama lain.
Namun, Leclerc – yang kini menduduki tempat kelima dalam kejuaraan pemandu dengan 165 mata – menyahut ujian itu.
“Saya mencintai trek di dalam bandar. Saya gemar menguji diri saya memandu dekat dengan dinding,” katanya.
Dengan tujuh perlumbaan sebelum musim F1 2025 berakhir, Ferrari menduduki tempat ketiga dalam kejuaraan pembina (constructor) dengan 286 mata, di belakang pendahulu McLaren (623 mata) dan Mercedes (290 mata).
Leclerc masih mahu menjulang kejohanan F1.
Beliau memasuki F1 sebagai rookie pada 2018 dan hampir memenangi kejuaraan pemandu pada 2022 setelah mencapai kedudukan kedua.
Namun, Leclerc meraih kenangan manis setelah memenangi perlumbaan di tanah airnya, Monaco GP 2024.
Pengalaman seperti itu membentuknya menjadi pemandu hebat kini.
Leclerc berkata: “Saya selalu bekerja sekeras mungkin untuk bersiap-sedia, sama ada dari segi fizikal atau mental. Saya akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi saya tahun demi tahun – itulah pendekatan saya dan ia tidak akan berubah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg