Lebih 100 atlet-pelajar daripada 24 sekolah akan mewakili Singapura dalam Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG), yang berlangsung di Da Nang, Vietnam, dari 31 Mei hingga 9 Jun.
Mereka bakal bersaing dalam empat sukan – olahraga, badminton, bola keranjang dan renang.
Kontinjen Pasukan Sukan Sekolah Singapura (SSST) akan diterajui Chef de Mission, Encik Chua Lek Hong, juga pengetua Sekolah Menengah Kranji.
Beliau akan dibantu timbalan Chef de Mission, Cik Rasidah Rahim, juga pengetua Sekolah Menengah Clementi Town, dan 35 pegawai lain daripada Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah.
Pada 21 Mei, satu upacara mengucapkan selamat jalan untuk kontinjen SSST sebelum ke ASG telah dianjurkan di Institusi St. Joseph.
Turut hadir di acara itu ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata bahawa kejayaan menganjurkan temasya sukan itu adalah bukti ketabahan dan kerjasama strategik Asean.
“Dengan menghimpunkan atlet, pegawai, dan penonton dari seluruh rantau, ASSC bukan sahaja mempromosikan semangat kesukanan dan persaingan sihat, malah mengeratkan hubungan diplomatik dan perhubungan antara rakyat.
“Acara ini menjadi platform untuk mempamerkan budaya dan bakat yang pelbagai dalam Asean, memupuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman dalam kalangan negara anggota.
“Begitu banyak yang anda boleh belajar daripada satu sama lain. Rebut peluang, izinkan diri anda terdorong oleh semangat mereka. Perkaya pengalaman anda di temasya sukan dengan persahabatan yang bermakna, dan semoga ia meninggalkan kesan yang berkekalan kepada anda,” tambah beliau.
Lebih 1,000 atlet-pelajar daripada 10 negara Asean dijangka mengambil bahagian dalam edisi ASG ini, yang bertema ‘Connect to Shine Bright’, atau Berhubung untuk Bersinar. Ini merupakan kali pertama ASG diadakan sejak 2019.
ASG, anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASSC), bertujuan mempromosi perpaduan Asean dalam kalangan belia sambil menyediakan peluang untuk atlet-pelajar untuk mengukur dan mengasah bakat sukan mereka.
Sepanjang 10 hari itu, atlet-pelajar Singapura berpeluang berhubung dan mempelajari daripada rakan sebaya Asean mereka menerusi pertandingan persahabatan dan semangat bersama untuk sukan.
“Perjalanan atlet kita buat masa ini adalah yang memaparkan dedikasi, ketabahan dan pengorbanan. Setiap sesi latihan yang sukar, setiap cabaran yang diatasi dan setiap kejayaan yang diraikan telah membawa mereka ke peringkat ini.
“Ketika mereka bersiap sedia untuk mewakili Singapura di pentas antarabangsa, saya menggesa mereka mendakap nilai-nilai semangat kesukanan, setiakawan, dan kecemerlangan,” tambah Encik Chua.
Atlet-pelajar dalam SSST dipilih berdasarkan prestasi keseluruhan mereka dalam Sukan Sekolah Nasional, dan pertandingan sukan tempatan dan serantau lain.
Mereka harus berusia 18 tahun atau lebih muda pada 1 Januari pada tahun ASG diadakan, dan menjadi pelajar sepenuh masa di negara Asean masing-masing.
ASSC dibentuk pada 1978 untuk menyelaras dan menyokong program dan kegiatan sukan dalam kalangan negara Asean. Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Singapura menganggotai ASSC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg