Seramai 14 pendekar dan srikandi Pasukan Silat Singapura akan berangkat ke Thailand untuk bertanding di Sukan SEA 2025.
Hampir separuh daripada mereka adalah peserta baru yang bersemangat untuk menonjolkan kemampuan mereka buat pertama kali di temasya yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember.
Ketika ditemu ramah oleh Berita Harian (BH) di Arena OCBC pada 6 November, ketua jurulatih Rafili Ramli, menyatakan keyakinan penuh terhadap kemampuan anak didiknya.
Dengan hanya kira-kira sebulan sebelum beraksi di ‘medan tempur’ Gimnasium Stadium Jiranakorn di Songkhla, Rafili berkata pembangunan ketahanan mental yang kukuh akan menjadi kunci untuk memastikan kempen Sukan SEA yang berjaya.
“Kami telah berlatih sejak Januari. Disember adalah penutup besar bagi kami kerana Sukan SEA adalah matlamat utama kami untuk tahun ini,” kata Rafili.
Beliau turut berkongsi tentang prestasi dan pengajaran positif daripada pertandingan antarabangsa yang disertai pada Oktober.
“Kami menghantar sebahagian pesilat baru kami ke prapertandingan Sukan SEA untuk mereka membiasakan diri dengan persekitaran pertandingan yang sengit dan belajar berdepan dengan lebih ramai penonton,” tambahnya.
Rafili menambah kekuatan mental dan pengawalan emosi sewaktu bertempur mampu menjamin kemenangan buat pesilat muda, terutamanya apabila diuji oleh peminat lawan.
Kemenangan besar di Kejohanan dan Festival Pencak Silat Terbuka Amerika Kedua pada Oktober, katanya, juga telah memberi anak didiknya motivasi untuk ‘mendahagakan’ persembahan hebat di Sukan SEA 2025.
Pihak media turut dijemput untuk bertemu ramah dengan skuad silat Sukan SEA 2025 di Arena OCBC pada 17 November.
Antara pesilat lelaki yang akan bertanding di pentas Sukan SEA buat julung-julung kalinya adalah Ahmad Hanin Abdul Rahim untuk Kelas D (60-65kg) dan Zulhilmi Zul’Irfan untuk Kelas E (65-70kg).
Pesilat wanita pula terdiri daripada Nur Aniqah Qistina Roslan untuk Kelas B (50-55kg), Rifqah Mursyidah Mistam untuk Kelas C (55-60kg) dan Nurin Insyirah Mohamed Aidil untuk acara seni Tunggal Wanita.
Walaupun baru ke pentas Sukan SEA, pesilat muda tersebut bukan sekadar calang-calang.
Hanin telah memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan pada 2024, dan pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan pada tahun yang sama.
Rifqah pula telah memenangi pingat perak di Kejohanan Pencak Silat Asia Kesembilan pada 2025.
Aniqah, pesilat paling muda berusia 17 tahun, telah memenangi pingat perak untuk acara seni dan tanding dalam Kejohanan Pencak Silat Belia Dunia Kelima pada 2024.
Antara pesilat veteran yang dipilih menyertai kontinjen ke Sukan SEA 2025 ialah kapten dan juara tiga kali dunia, Muhammad Iqbal Abdul Rahman, untuk acara Tunggal Lelaki.
“Saya ingin menjuarai semula pingat emas yang saya memenangi pada 2022 di Vietnam, untuk Singapura,” kata Iqbal.
Menyertai kategori seni bersama Iqbal ialah Muhammad Affiz Mohamed Zakri, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Nazrul Mohd Kamal untuk acara Regu lelaki.
Seorang lagi wajah dikenali dalam kontinjen ini ialah juara dunia Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, yang teruja dapat bertanding dalam kelas pilihannya buat pertama kali di pentas Sukan SEA, iaitu Kelas I (85-90kg).
Ferdous memburu pingat emas pertamanya di Sukan SEA, menjelang penampilan keenamnya di temasya itu, yang beliau sifatkan sebagai “akan menjadi satu detik bersejarah” sekiranya beliau menang.
Juara Asia 2022, Dhani Andika Razali, akan bertanding dalam acara Kelas bawah 45 kilogram, manakala juara dunia 2022, Aniq ‘Asri Mohammad Yazid, akan bertanding dalam Kelas C (55-60kg).
Abdul Raaziq Abdul Rashid pula akan bertanding dalam Kelas G (75-80kg).
Setakat ini, Rafili berkata beliau gembira dengan gabungan antara pesilat baru dan veteran demi menghasilkan persembahan yang cemerlang.
Beliau menekankan kepentingan kehadiran pesilat veteran sebagai teladan dan inspirasi bagi pesilat muda.
“Pada masa yang sama, semangat pesilat muda yang mendahagakan kemenangan juga mampu mengingatkan pesilat veteran tentang zaman awal bertarung, dan memacu mereka untuk terus berjuang,” jelasnya.
Iqbal, yang ada lebih 20 tahun pengalaman dalam skuad negara, pula berkata beliau bukan sahaja memberi nasihat kepada pesilat muda, malah akan mendapatkan maklum balas daripada mereka untuk memperhalusi persembahannya.
Rafili berkata beliau yakin semua anak didiknya mampu meraikan pingat, sambil menyasarkan antara dua hingga tiga pingat emas buat temasya Sukan SEA 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg