Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skuad silat negara bertanding di Amerika jelang Sukan SEA 2025

Gabungan pesilat muda dan senior merupakan kunci kejayaan di Sukan SEA, kata ketua jurulatih Rafili Ramli
Oct 9, 2025 | 7:11 PM
Seramai 10 pesilat Singapura kini berada di Virginia dari 6 hingga 16 Oktober sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung dari  9 hingga 20 Disember 2025.
Seramai 10 pesilat Singapura kini berada di Virginia dari 6 hingga 16 Oktober sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025. - Foto ihsan RAFILI RAMLI

Ramai mungkin tidak menjangka persiapan bagi pertandingan silat, sukan yang berasal dari Nusantara, akan diadakan di benua Amerika yang terletak sekitar 15,000 km atau 25 jam perjalanan menaiki kapal terbang dari Singapura.

Namun, itulah strategi persiapan yang dipilih oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Rafili Ramli, apabila membawa sebahagian skuad silat negara seramai 10 orang ke Virginia, Amerika Syarikat, untuk bertanding dalam Kejohanan dan Festival Pencak Silat Terbuka Amerika Kedua yang akan diadakan dari 10 hingga 12 Oktober.

Ia adalah sebagai sebahagian persiapan skuad negara untuk menghadapi temasya Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember.

Rafili, yang menggalas tugas itu sejak 2022, menjelaskan bahawa strategi bertanding dengan lawan yang bertubuh lebih besar dan gagah, seperti dari Uzbekistan, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Belanda, merupakan peluang yang baik untuk mengasah kebolehan dengan melawan seteru yang baru.

“Kebolehan kami berbanding dengan pihak lawan daripada Asia lebih kurang sama... kami sudah mengenal pasti kebolehan satu sama lain.

“Kami juga sedar tentang kelebihan mereka, jadi kami enggan menunjukkan skil dan teknik kami dengan sepenuhnya,” kongsinya kepada Berita Harian (BH) pada 9 Oktober.

Rafili menambah, “Gaya silat di negara luar Asia, seperti di Amerika, jauh berbeza… pesilat kami akan terdedah kepada pihak lawan yang tidak mengenali gaya tanding kami.”

“Walaupun intensiti pertandingan di Amerika tidak begitu sengit, keadaan itu memberi peluang kepada pesilat kami tumpukan perhatian kepada membina keyakinan, mencuba teknik baru dan mengasah kebolehan,” jelas beliau.

Ini kali ketiga pasukan silat negara menyertai pertandingan di Amerika, yang dianjurkan oleh Persekutuan Pencak Silat Amerika (UPSF).

Kali pertama mereka ke sana adalah pada 2019, juga di Virginia, di mana mereka meraih lapan pingat – termasuk enam pingat emas – manakala kali keduanya adalah di Colorado pada 2023.

Difahami, skuad pesilat Singapura yang akan bertanding di temasya Sukan SEA 2025 telah diputuskan, walaupun senarai tersebut belum dinamakan.

Namun, Rafili meletakkan harapan tinggi kepada gabungan antara pesilat baru dengan veteran yang sepadan, untuk memberi satu lagi persembahan cemerlang.

“Saya positif pesilat baru dan senior dapat bergabung dengan lancar.

“Adalah sangat bermakna bagi seorang pesilat baru mewakili Singapura dalam Sukan SEA... saya harap mereka akan bersungguh-sungguh memanfaatkan peluang ini.

“Yang paling penting adalah semua anak didik saya, tidak kira baru atau veteran, dahagakan peluang untuk menonjolkan kehandalan negara,” ujar Rafili dengan penuh keyakinan.

Antara pesilat yang dipilih menyertai rombongan ke Virginia ialah kapten dan juara acara Seni Tunggal Lelaki di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024, Muhammad Iqbal Abdul Rahman.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, yang akan bertanding dalam Kelas I (85-90kg). Beliau merupakan juara dunia bagi Kelas I (85-90kg) di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 Abu Dhabi dan memenangi pingat perak dalam Kelas G (75-80kg) di Sukan SEA 2023.

Pesilat lain yang dipilih ialah Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin untuk Kelas H (80-85kg), Dhani Andika Razali untuk Kelas A (45-50kg) dan Ahmad Hanin Abdul Rahim untuk Kelas D (60-65kg).

Pesilat wanita yang berada dalam skuad itu termasuk juara dunia 2018 dan Sukan SEA 2022, Nurul Suhaila Mohamed Saiful, dan pesilat muda, Nadhrah Sahrin.

Mereka masing-masing akan bertanding dalam Kelas D (60-65kg) dan Kelas A (45-50kg) di Virginia.

Nadhrah telah memenangi pingat perak di Sukan SEA 2023 bagi Kelas A (45-50kg).

Nur Ashikin Zulkifli, Amirah Sahrin dan Iffah Batrisyia Noh pula akan menyertai acara Artistik Regu Wanita.

Dalam perkembangan lain, sekumpulan pesilat Singapura yang tidak berpeluang bertanding di Virginia, telah berangkat ke Thailand untuk berlatih dalam prapertandingan Sukan SEA dari 9 hingga 16 Oktober.

Rafili menetapkan harapan yang tinggi agar anak didiknya dapat memanfaatkan sepenuhnya latihan dan pertandingan di Amerika.

“Kami telah melakukan perjalanan yang jauh dan banyak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru, jadi kami perlu menang sebanyak mungkin pingat di sini,” tegas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg