Setiap bola membawa cabaran tersendiri buat Nurulasyiqah Mohammad Taha dan Aloysius Gan, tetapi bagi pasangan sukan boccia Singapura itu, kunci kejayaan mereka terletak pada keupayaan untuk kekal tenang, berkomunikasi dengan berkesan dan menumpukan perhatian kepada satu pukulan pada satu masa.

Pendekatan itu membantu pasangan acara BC3 negara tersebut mengharungi hari yang mencabar untuk melangkah ke final acara pasangan campuran di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Thailand di peringkat separuh akhir.

Ini bermakna mereka berpeluang menambah satu lagi gelaran kepada koleksi mereka selepas muncul juara dunia bulan lalu.

Ketika bercakap kepada Berita Harian (BH), Nurulasyiqah berkongsi bahawa beliau dan Aloysius berasa lega selepas mengharungi jadual pertandingan yang panjang, terutama selepas berjaya mengatasi cabaran dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada sebelah pagi sebelum meneruskan perjuangan di separuh akhir.

“Peluang untuk bertanding di sini, dan bagi saya sendiri, merupakan peluang untuk kembali beraksi di peringkat Sukan Para Asia selepas sekian lama.

“Kami benar-benar berasa lega. Hari ini panjang dan mencabar. Kami mempunyai perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang sukar pada sebelah pagi, kami tetapi berjaya memenanginya.

“Jadi, apabila tiba di separuh akhir, kami hanya cuba menumpukan perhatian kepada satu bola pada satu masa, satu end pada satu masa. Saya rasa keputusan itu sudah membuktikannya,” katanya.

Pasangan Singapura itu memulakan kempen dengan kemenangan ke atas India sebelum menewaskan Chinese Taipei untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Mereka kemudian meneruskan perjuangan selepas peringkat kumpulan untuk memastikan tempat di final, dengan berdepan Jepun bagi merebut pingat emas pada 24 Oktober.

Bagi Nurulasyiqah, cabaran utama dalam boccia bukan sekadar ketepatan pukulan, malah keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan pergerakan bola yang tidak sentiasa dapat diramalkan.

“Cabaran kami ialah menangani cara bola berhenti serta permukaan lantai yang tidak rata. Itu sentiasa menjadi cabaran apabila bermain boccia, terutama untuk mengagak jarak dengan tepat.

“Jika kami dapat mengatasi kedua-dua perkara itu, kami boleh bermain dengan lebih baik dan melaksanakan pukulan yang dirancang,” katanya.

Keserasian antara Nurulasyiqah dengan Aloysius juga memainkan peranan penting, terutama apabila setiap keputusan perlu dibuat dalam tempoh masa yang terhad.

Aloysius, 19 tahun, merupakan atlet bukan verbal.

Oleh itu, komunikasi mereka memerlukan latihan berterusan, termasuk usaha Nurulasyiqah untuk memahami isyarat dan keperluan pasangannya ketika pertandingan berlangsung.

Keserasian dan pemahaman itu hadir selepas mereka membina kejayaan bersama di pentas antarabangsa.

Pada September lalu, Nurulasyiqah dan Aloysius mencipta sejarah apabila memenangi emas acara BC3 pasangan di Kejohanan Boccia Dunia 2026 di Seoul, Korea Selatan.

Kejayaan itu menyusuli kemenangan mereka dalam acara pasangan BC3 di Sukan Para Asean 2025 di Thailand, apabila menewaskan pasangan tuan rumah 3-1.

Namun, Nurulasyiqah sedar bahawa kejayaan lalu tidak menjamin kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Di final Aichi-Nagoya, mereka berdepan pasangan Jepun yang sudah lama tidak ditemui di gelanggang pertandingan.

Walaupun kedua-dua pasukan mempunyai pengalaman bertemu sebelum ini, Nurulasyiqah memilih untuk tidak terlalu memikirkan tekanan perebutan pingat emas.

Kali terakhir pasangan Singapura bertemu dengan gandingan Jepun yang sama adalah di perlawanan akhir Piala Boccia Dunia Beijing 2025, di mana Singapura tewas tipis dengan keputusan 2–3 kepada Jepun.

“Jadi, bagus juga dapat bertemu mereka semula di gelanggang. Kami akan cuba menikmati perlawanan final esok,” kata Nurulasyiqah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti