Topik diikuti
Pergi ke BHku2 gol Messi tebus kecewa penalti, pacu Argentina ke pusingan 32 terakhir
2 gol Messi tebus kecewa penalti, pacu Argentina ke pusingan 32 terakhir
Muncul sebagai penjaring tertinggi dalam sejarah Piala Dunia dengan 18 gol, kini dahului saingan But Emas
2 gol Messi tebus kecewa penalti, pacu Argentina ke pusingan 32 terakhir
Wira Argentina, Lionel Messi, tertunduk memandang rumput sambil menggelengkan kepalanya.
Sepakan penalti hambar beliau meragut peluang keemasan untuk memberi skuad dengan gelaran Albiceleste itu kelebihan gol pada awal perlawanan.
Sekitar 10 minit berikutnya, pemain veteran itu kelihatan cukup kecewa dan gagal mempamerkan aksi magisnya yang sebenar.
Malah, pemain hebat dunia itu juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.
Namun, menjelang usia 39 tahun dan berbekal pengalaman lebih dua dekad di peringkat tertinggi, bintang veteran itu sudah biasa bangkit daripada badai sedemikian.
Tidak lama kemudian, beliau membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri.
Messi menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Austria pada 22 Jun (23 Jun waktu Singapura).
Kejayaan itu sekali gus memahat namanya dalam lipatan sejarah sebagai penjaring gol tertinggi dalam sejarah pertandingan Piala Dunia dengan jaringan 18 gol.
Setelah mengutip lima gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026, beliau dengan selesa memacu juara bertahan itu melangkah ke pusingan 32 pasukan terakhir.
Meskipun sepakan penalti Messi tersasar pada minit kelapan, barisan pemain Argentina tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap kapten mereka.
Detik cemas tersebut sebaliknya melonjakkan lagi kehangatan dan intensiti pertembungan antara kedua-dua pasukan di Stadium Dallas, menyemarakkan sekitar 70,000 penyokong yang menyaksikan aksi fizikal yang cukup sengit itu.
Austria, yang diperkuat tonggak berpengalaman seperti Marcel Sabitzer dan David Alaba, jelas memberikan ujian getir buat gergasi Amerika Selatan itu sepanjang perlawanan.
Berbeza dengan aksi pada 16 Jun (17 Jun waktu Singapura) ketika Argentina mengatasi Algeria 3-0, anak didik Lionel Scaloni terpaksa memeras keringat kali ini demi memastikan satu lagi kemenangan.
Biarpun Austria mempamerkan semangat kental sambil melancarkan beberapa siri serangan berbahaya, mereka gagal menyekat kemahiran juara bertahan – terutamanya apabila Messi mula mempamerkan magisnya.
Detik bersejarah Messi berlaku pada minit ke-38 dalam pertembungan itu.
Thiago Almada dengan bijak membiarkan hantaran lintang Facundo Medina melalui celah kakinya untuk membuka ruang keemasan buat Messi melepaskan rembatan hebat.
Messi memadamkan harapan Austria untuk bangkit pada saat-saat terakhir babak kedua, apabila percubaan beliau mengatasi dua pemain Austria, sejurus selepas percubaan awal Julian Alvarez dihalang oleh penjaga gawang, Alexander Schlager.
Ternyata, Argentina mempamerkan rentak permainan yang berjaya merobek benteng Austria.
Enzo Fernandez dan Alexis Mac Allister sering mengumpan benteng Austria dengan gerakan lincah di bahagian tengah.
Jika Austria berpeluang melancarkan serangan balas, Lisandro Martinez, Rodrigo De Paul dan Cristian Romero bermati-mati mempertahankan pintu gawang mereka.
Sambil meraikan pencapaiannya menjadi penjaring gol tertinggi dalam sejarah Piala Dunia, Messi melahirkan kelegaannya bahawa Argentina mara ke pusingan seterusnya.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, beliau berkata:
“Seperti yang dikatakan sejak awal lagi, pasukan ini akan terus berjuang dan menyasarkan lebih banyak pencapaian.
“Kami berjaya menghadiahkan banyak detik gembira bagi masyarakat kami.”
Kini, Messi sudah menjaringkan lima gol dan mendahului saingan bagi anugerah But Emas.
Mengekori rapat kedudukan tonggak Argentina itu ialah bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe, yang kini mengumpul 16 gol secara keseluruhannya di pentas Piala Dunia, susulan kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Iraq pada 22 Jun.
Meskipun aksi di Stadium Philadelphia itu ditangguhkan selama dua jam akibat hujan lebat, cuaca buruk itu tidak merencat sengat Mbappe yang meneruskan momentum cemerlangnya dengan menjaringkan dua lagi gol hebat.
Beliau mempamerkan ketajamannya menerusi sepakan lencong yang memukau dari luar kotak penalti, bagi menyempurnakan hantaran satu-dua bersama Michael Olise pada minit ke-14.
Gol keduanya menyusuli kerapuhan pertahanan Iraq pada minit ke-54, apabila Ousmane Dembele mengutip hantaran tersasar untuk menghadiahkan gol mudah kepada Mbappe.
Dembele kemudian menjaringkan gol ketiga bagi Perancis pada minit ke-66.
Sementara itu, Erling Haaland muncul wira dalam kemenangan 3-2 ke atas Senegal di Stadium New York/New Jersey, sekali gus menempah tiket Norway ke pusingan 32 pasukan terakhir.
Pemain Viking itu menjadi duri kepada benteng Senegal dalam pertembungan sengit menerusi kehadiran fizikal dan ketajamannya di depan gawang.
Marcus Pederson membuka tirai untuk Norway pada minit ke-43 apabila beliau memanfaatkan hantaran hambar oleh benteng Senegal.
Haaland kemudian menggandakan kelebihan Norway menerusi rembatan hebat untuk menyempurnakan serangan balas pada minit ke-48.
Kemudian, beliau bertindak pantas menyambar peluang untuk menjaringkan gol keduanya pada minit ke-54.
Dengan itu, persaingan merebut anugerah But Emas semakin sengit apabila Haaland dan Mbappe kini terikat di tangga kedua, dengan kedua-dua penyerang berbisa itu masing-masing sudah menjaringkan empat gol.
Sekilas keputusan perlawanan pada 22 Jun (23 Jun waktu Singapura)
Kumpulan J:
Argentina 2-0 Austria
Algeria 2-1 Jordan
Kumpulan I:
Perancis 3-0 Iraq
Norway 3-2 Senegal
