Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerlawanan Perancis, Iraq ditangguh lebih 2 jam dek hujan lebat
Perlawanan Perancis, Iraq ditangguh lebih 2 jam dek hujan lebat
Perlawanan Perancis, Iraq ditangguh lebih 2 jam dek hujan lebat
PHILADELPHIA (Amerika Syarikat): “Kami telah harungi malam yang amat sukar,” laung juruacara stadium ketika perlawanan antara Perancis dengan Iraq terpaksa ditangguhkan selama lebih dua jam akibat cuaca buruk.
Ia ternyata malam yang menguji kesabaran barisan pemain, jurulatih serta 68,344 penonton yang membanjiri Stadium Philadelphia.
Perlawanan yang sepatutnya bermula pada 5 petang pada 22 Jun akhirnya hanya tamat pada 8.47 malam atas faktor keselamatan di tengah-tengah keadaan cuaca berbahaya.
Awan gelap dilaporkan mula menebal apabila pengadil dari Canada, Drew Fischer, meniup wisel penamat babak pertama pada 5.49 petang, apabila Perancis sedang mendahului Iraq 1-0.
Hujan lebat serta petir kemudian melanda kawasan sekitar stadium.
Selepas keadaan disahkan benar-benar selamat untuk aksi disambung semula, jam sudah pun menunjukkan 8 malam.
Enggan membuang masa lagi, skuad Perancis yang mendahagakan kemenangan kemudian menjaringkan dua lagi gol untuk mencatatkan kemenangan bergaya 3-0.
Kapten pasukan, Kylian Mbappe, mencuri tumpuan apabila menyumbang dua gol pada penampilan antarabangsanya yang ke-100, sekali gus mengesahkan tiket pasukan Les Bleus ke pusingan 32 pasukan terakhir.
“Ia satu malam yang amat meletihkan,” ujar Mbappe kepada BBC selepas perlawanan.
“Kami membazir banyak masa hanya untuk menunggu.
“Ia amat meletihkan dari segi emosi dan mental kerana kami perlu kekal fokus dan bersiap sedia di dalam bilik persalinan.
“Duduk di dalam bilik persalinan selama satu setengah jam hingga hampir dua jam, sambil cuba mengekalkan tumpuan bukanlah satu tugas mudah.
“Ia menuntut komitmen yang sangat tinggi. Namun, barisan pemain dan jurulatih tetap memberikan usaha yang sepenuhnya.”
Ditanya mengenai kegiatan yang dilakukan sepanjang tempoh penangguhan lama itu, pengurus Perancis, Didier Deschamps, sempat berseloroh.
“Kami bermain permainan kad, sejujurnya kami hanya menunggu. Waktu untuk kembali ke padang asyik ditangguhkan.
“Saya sebaliknya mengambil peluang itu untuk meluangkan masa dengan anak didik saya.
“Ini adalah soal keselamatan. Kami tidak boleh melawan hujan dan petir.
“Ia sedikit pun tidak mengganggu saya. Ini adalah situasi yang sangat luar biasa dan saya berharap ia tidak akan berulang.
“Apa yang paling penting ialah kita tidak mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan,” tambah beliau. – Agensi berita.
