Pasukan Silat negara berpotensi meraih dua pingat emas, selepas Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin dan Dhani Andika Razali mara ke peringkat akhir.
Ferdous memadam sorakan peminat Indonesia yang membanjiri Dewan Impact Forum, yang hadir dengan paluan gendang, selepas mencatat kemenangan sengit 45-42 ke atas Sadan Ahmed Sidik Lisanaka dalam perlawanan Kelas I Putra (85-90kg).
Dalam aksi tanding kelas bawah 45kg Putra, Dhani mendominasi lawannya dari Filipina, Harold Ralph Ungaya, dengan kemenangan bergaya 65-16.
Dalam pertarungan yang sengit, Ferdous bangkit berulang kali untuk merampas kembali pendahuluannya, walaupun dikenakan beberapa penalti.
Meskipun kedudukan tertekan sepanjang perlawanan, Sadan gagal menandingi kehandalan Ferdous, yang lincah membanting dan menendang lawannya.
Dalam pusingan kedua perlawanan itu, sepakan pusing oleh Ferdous menghantar lawannya tersungkur ke gelanggang. Juara dunia itu memekik kegembiraan, menyemarakkan semangat rakan sepasukannya.
Pada pertarungan separuh akhir kali ini, Ferdous mengambil pendekatan lebih menyerang, berbanding dengan gaya berhati-hati semasa kemenangan 12-9 apabila menentang Stephen Suazon dari Filipina pada 15 Disember di peringkat suku akhir.
Ketua jurulatih, Rafili Ramli, berkata mereka sudah menjangkakan perlawanan yang lebih ofensif dan telah membuat persiapan rapi.
“Saya rasa Ferdous melaksanakan rancangan pertarungan dengan baik. Beliau bergerak dengan lincah dan lebih berdominasi dari segi merangkul mata,” katanya.
Walaupun bergelut dengan tolakan mata dan beberapa keputusan yang tidak menyebelahinya, Rafili memuji kematangan Ferdous yang kekal tenang dalam merapatkan jurang.
Rafili turut gembira dengan Dhani yang lebih yakin dan bersedia berjuang habis-habisan di peringkat final pada 17 Disember.
Dhani semakin berada pada prestasi terbaiknya, mempamerkan kelincahan dan kebijaksanaan dalam membuat serangan berturut-turut.
Beliau menghasilkan kemenangan besar itu walaupun hampir disingkirkan kerana satu kesilapan.
Abdul Raaziq Abdul Rashid pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, setelah tewas kepada wakil tuan rumah, Suthat Bunchit, 59-93 dalam aksi Kelas G Putra (75-80kg).
Di sebalik kekalahan itu, Rafili bangga dengan semangat juang anak didiknya itu yang memaksa lawannya berusaha untuk kemenangan.
Rafili menyifatkan prestasi Raaziq sebagai yang terbaik sejauh ini.
Bagi Rafili, kebolehan anak didiknya tidak boleh dinafikan, namun, beliau akur mereka perlu lebih berhati-hati kerana situasi mampu berubah dalam sekelip mata.
Namun begitu, Rafili yakin kedua-dua anak didiknya mampu memberi tentangan sengit di final, apabila berdepan lawan yang mencabar.
Dhani akan bertemu Khoirudin Mustakim dari Indonesia dalam final pada 17 Disember.
Khoirudin telah memenangi pingat emas bagi Kelas A semasa Sukan SEA 2023 di Kemboja, dan kini mengurangkan berat badan untuk bertanding dalam Kelas bawah 45kg buat julung-julung kalinya.
Pengalaman Dhani bertanding dalam Kelas bawah 45kg sebanyak dua Sukan SEA setakat ini, mampu menjadi kelebihan tambahan.
Bagi Ferdous pula, Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam merupakan lawan terakhir yang perlu diatasi untuk mengejar gelaran yang belum dicapai selama lima edisi Sukan SEA yang lalu.
Tuyen ialah juara bertahan Sukan SEA bagi Kelas H (80-85kg), tetapi telah menyertai Kelas I pula baru-baru ini.
Kedua-dua jaguh saling mengenali, dengan pertemuan terakhir dalam Kejohanan Asia pada Julai 2025 di Vietnam, di mana Ferdous tewas.
Menjelang perlawanan ulangan yang dijangka sengit, Rafili menegaskan, kebijaksaan bertarung dan daya ketahanan mental akan menjadi penentu juara.
Namun, Rafili menekankan bahawa Ferdous telah menghasilkan “salah satu pertarungan yang terbaik”, dan yakin beliau dapat mengulang prestasi itu apabila menentang Tuyen.
Dengan kerja keras dan sokongan berterusan sejauh ini, Rafili harap anak didiknya dapat menamat kempen Sukan SEA 2025 dengan mengibarkan bendera negara.
“Saya yakin mereka akan berjuang hingga ke detik gong terakhir dibunyikan,” tegas Rafili.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg