Ratu pecut negara, Shanti Pereira, tidak dapat menahan sebaknya ketika upacara penyampaian pingat acara 200 meter wanita dalam Sukan SEA 2025.
Ini selepas beliau mencipta sejarah sebagai pelari pecut Singapura pertama yang meraih gelaran juara berganda 100 meter dan 200 meter pada dua edisi berturut-turut temasya itu – 2023 dan 2025.
Air mata yang mengalir bukan sekadar mencerminkan kegembiraan, bahkan kesedarannya berkaitan ketidaktentuan yang datang bersama kerjaya seorang atlet, lebih-lebih lagi ketika menghampiri usia 30-an tahun.
Pereira memberitahu Berita Harian (BH) bahawa beliau hanya mahu benar-benar menghayati detik itu, memandangkan beliau tidak pasti sama ada berpeluang mendengar sekali lagi lagu kebangsaan dimainkan bagi acara perseorangannya.
Namun, atlet berusia 29 tahun itu tetap bermotivasi dan sudah mengintai peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Tiada siapa yang tahu apa akan terjadi selepas setiap kejohanan utama yang saya sertai.
“Jadi, saya hanya boleh kawal apa yang saya mampu, iaitu perasaan saya – menikmati detik kemenangan ini,” katanya.
Bagi Pereira, usia bukanlah satu rintangan.
Ketika ditemui BH di penginapan atlet olahraga di Prince Palace Hotel, Bangkok, Thailand, Pereira berkata beliau yakin masih mampu berikan yang lebih baik, memandangkan ramai atlet pecut dunia masih boleh bertanding pada usia melebihi 30 tahun.
“Selepas Olimpik 2024 di Paris, saya beritahu diri saya bahawa saya ingin ke Olimpik seterusnya (2028).
“Betul, usia saya akan mencapai lebih 30 tahun, tetapi terdapat ramai atlet pecut yang berupaya melakukan lebih baik selepas mencapai usia itu.
“Kita hanya perlu beri lebih perhatian kepada badan kita, misalnya tidak boleh tidur lambat. Kita tidak akan tahu apa akan terjadi, jadi kita teruskan sahaja perjalanan ini,” ujarnya.
Tahun 2025 merupakan kempen yang panjang buat Pereira. Beliau baru sahaja menamatkan kempen Sukan SEA 2025 di Thailand.
Sebelum itu, beliau beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo pada September dan Kejohanan Olahraga Asia pada Mei.
Kini, beliau hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali mempersiapkan diri menjelang kejohanan utama 2026, khususnya Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Beliau menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas 200m dalam Sukan Asia yang dimenanginya pada edisi 2022 dan memperbaiki pencapaian pingat perak bagi acara 100m.
“Tahun hadapan (2026) merupakan tahun sangat penting, dan apabila saya kembali menjalani latihan, seluruh tumpuan akan ke arah sasaran itu.
“Ia satu kedudukan yang luar biasa untuk menjadi juara bertahan, boleh menjadi titik tekanan yang besar, atau satu keistimewaan... sekarang saya hanya teruja untuk beraksi semula.
“Persaingan pastinya sengit kerana ramai pelari muda yang sedang meningkat naik, namun saya tetap berhasrat untuk mempertahankan pingat emas 200m dan menjuarai acara 100m,” tambahnya.
Sudah hampir sedekad ratu pecut negara, Shanti Pereira, memukau peminat dengan kelajuannya di balapan.
Mula mencipta nama di Sukan SEA 2013 sebagai seorang atlet yang bertubuh kecil, beliau kini berdiri megah bukan sahaja sebagai ratu pecut Asean, malah menjadi sumber inspirasi buat generasi atlet olahraga muda negara.
Antara sosok yang memberi impak terbesar kepada Pereira ialah jurulatihnya, Luis Cunha.
Hubungan mereka tidak tertakluk kepada jurulatih dan pelari, malah Pereira sering dilihat menanyakan mengenai jurulatihnya itu seperti “sudah makan ke belum?”
Berbangga dengan anak didiknya itu, Cunha berkata:
“Pereira ialah duta Singapura bagi sukan olahraga di dunia. Ketika saya berada bersamanya di lapangan terbang atau kapal terbang, peminat dari negara seperti Singapura, Malaysia, India, semua akan bergambar dengannya.
“Dan jika anda lihat di Sukan SEA atau Sukan Asia, setiap kali Pereira akan berada di podium tetapi dua atlet lain akan sering bertukar-tukar.
“Konsistensi itu hanya boleh dilihat pada Pereira dan jika beliau ingin kekalkan kedudukan ini, perlu ada sokongan yang baik... usia bukan penghalang.”
Beliau, yang juga jurulatih bagi Calvin Quek – yang turut mengukir sejarah di Sukan SEA apabila memenangi pingat emas pertama Singapura bagi acara 400m lompat pagar – percaya kejayaan kedua-duanya boleh memberi inspirasi kepada atlet muda lain.
Apabila ditanya apakah nasihat yang beliau ingin berikan kepada atlet muda, Cunha menjawab:
“Lihat saja pada Pereira dan Calvin (kedua-duanya berusia 29 tahun), jika mereka boleh buat, anda juga boleh.”
Lantas, warga Portugal itu percaya terdapat satu lagi kejutan yang boleh dilakukan Pereira di pentas dunia.
“Saya tidak gemar mengatakannya, tetapi saya percaya yang terbaik masih menanti,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg