MADRID: Sepanjang 15 tahun lalu, sering diperdebatkan siapakah pemain lebih hebat antara Lionel Messi dengan Cristiano Ronaldo.
Mereka sering bergilir-gilir memenangi Ballon d’Or sejak 2008.
Hanya Luka Modric dan Karim Benzema pemain yang memecahkan duopoli itu.
Namun, oleh kerana Messi dan Ronaldo kini bermain dalam liga-liga utama lebih kecil, 2024 mungkin menjadi tahun untuk barisan pemain seterusnya menempah nama sebagai pemain terhebat.
Erling Haaland, 23 tahun, merupakan antara pilihan utama untuk memenangi Ballon d’Or pertamanya pada 2023 selepas menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2022/23.
Musim itu menyaksikan Manchester City memenangi treble Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana England dan Piala FA.
Nama Kylian Mbappe, 24 tahun, juga disebut-sebut selepas beliau menjadi pemain pertama sejak 1966 untuk menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Qatar pada 2022.
Turut menjadi sebutan ramai ialah pemain tengah England, Jude Bellingham, 20 tahun.
Beliau baru sahaja menerima anugerah Golden Boy dan Kopa 2023 selepas permulaan hebat di Real Madrid.
Dengan 15 gol dalam 16 perlawanan untuk kelab barunya, beliau telah mengatasi jumlah 14 gol dalam 42 perlawanan bersama Borussia Dortmund pada musim sebelum ini.
Beliau turut mengatasi pencapaian pemain Real Madrid seperti Ronaldo dan Alfredo Di Stefano, yang menjaringkan 13 gol dalam 15 perlawanan pertama mereka .
Rakan sepasukan beliau di Real Madrid, Vinicius Jr, 23 tahun, turut diperkatakan sebagai pemain bertaraf dunia sejak dua musim lalu.
Beliau membantu pasukan Sepanyol itu memenangi Liga Juara-Juara 2022 dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir menentang Liverpool.
Pemain sayap itu menjadi tunggak Brazil, menggantikan Neymar, 31 tahun, yang telah berpindah ke Liga Arab Saudi selepas gagal membawa Paris St Germain (PSG) merangkul mahkota Liga Juara-Juara yang diidam-idamkan.
Julian Alvarez dari Argentina, 23 tahun, mengukuhkan pengaruhnya sebagai tunggak penting di bawah skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City, manakala pemain sensasi remaja asal Sepanyol, Lamine Yamal, 16 tahun, semakin menyerlah di Barcelona.
Di kala bahagian terbaik musim bola sepak memuncak serta Kejohanan Eropah dan Copa America bakal diadakan pada 2024, sudah tiba masanya untuk melihat pemain muda yang layak digelar ‘yang terhebat’. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg