Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

29 pemain bola sepak wanita bersaing wakili S’pura ke Sukan Asia Hangzhou

Seramai 20 akan dipilih akhirnya, jurulatih Karim Bencherifa kekalkan pemain utama yang beraksi di Sukan SEA 2022 dalam skuad
Aug 30, 2023 | 02:43 PM



Sekumpulan 29 pemain bola sepak wanita telah disenaraikan bagi dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.

Jurulatih Karim Bencherifa mengekalkan pemain utama yang menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA) 2022 pada Mei dalam senarai awal itu.

Pilihan 20 pemain bagi skuad muktamad akan dinamakan sebelum pasukan Singapura berangkat pada 20 September bagi temasya sukan dari 23 September hingga 8 Oktober itu.

Kapten pasukan, Siti Rosnani Azman; pemain tengah Farhanah Ruhaizat dan Sitianiwati Rosielin; pemain pertahanan Venetia Lim dan Syazwani Ruzi; penyerang Nicole Lim; dan penjaga gawang veteran Noor Kusumawati kesemuanya dikekalkan dalam skuad itu.

Kusumawati kini menantikan penampilannya yang ke-50 untuk Singapura.

Bakat muda seperti Sarah Zu’risqha dan Farah Nurzahirah pula akan membuat penampilan pertama mereka untuk Singapura dalam sebuah kejohanan utama.

Kededua pemain itu memainkan peranan penting dalam perlawanan persahabatan menentang Pakistan pada Julai, dengan Farah menjaringkan gol pertamanya untuk negara melalui ‘assist’ Sarah.

Irsalina Irwan, penerima biasiswa luar negara projek bola sepak nasional Unleash the Roar! (UTR) yang sedang belajar dan berlatih di Florida, Amerika Syarikat, akan pulang bulan hadapan untuk menyertai latihan pasukan itu.


Karim juga memperkenalkan pemain baru seperti pemain tengah Nasriah Ibrahim dan Rachel Chan, kededuanya berusia 19 tahun, yang pernah mewakili Singapura dalam kejohanan bawah usia 19 dan 20 tahun.

Prestasi pemain pertahanan Tampines Rovers, Nursabrinah Iskandar Shah, dalam Liga Perdana Wanita (WPL) telah membolehkannya disertakan dalam pasukan senior Singapura.

Kesemua mereka menantikan penampilan senior pertama mereka.

Pemain tengah Dorcas Chu dan Mastura Jeilani juga dinamakan dalam pasukan itu.

Chu telah pulih daripada kecederaan ligamen yang dialaminya pada akhir 2022.

Mastura pula kembali selepas penampilannya di Sukan SEA 2022.

“Kami menghadapi Sukan Asia 2023 dengan keazaman dan keinginan yang kuat untuk membuktikan kedudukan kami pada peringkat antarabangsa,” kata Stephanie Gigette, seorang lagi pemain daripada Tampines Rovers.

“Mewakili Singapura membuat kami penuh bangga dan kami sedar tanggungjawab kami sebagai duta negara ini,” tambah beliau.

Gigette juga berkata bimbingan jurulatih Karim bukan meningkatkan kemahiran mereka sahaja, malah menimbulkan rasa bersatu dan bermatlamat dalam pasukan itu.

Beliau juga menyatakan bahawa skuad itu sudah bersedia untuk menunjukkan dedikasi, semangat kesukanan dan kemajuan mereka sebagai sebuah pasukan.

Kejohanan itu bukan sekadar itu sahaja bagi mereka, sebaliknya ia menunjukkan kerja keras, daya tahan dan masa depan bola sepak wanita yang mereka idamkan.

Singapura akan menentang juara Sukan Asia tiga kali Korea Utara dan Kemboja dalam kumpulan C Sukan Asia ke-19 itu.

Bola sepak wanita diperkenal dalam Sukan Asia buat kali pertama pada 1990, tetapi pasukan wanita Singapura tidak pernah mengambil bahagian dalam lapan kejohanan yang lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >