Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 beradik, satu semangat

Dari sekadar minat jadi impian wakili negara
Jun 8, 2025 | 5:30 AM
Noah Fithrie Nazri, Mikhail Armanie Nazri,  Khidir Irie Nazri
Tiga beradik, Noah Fithrie Nazri (kanan), Mikhail Armanie Nazri, dan Khidir Irie Nazri (tengah) disatukan oleh minat terhadap sukan tinju sejak kecil. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Minat terhadap sukan tinju yang bermula sejak kecil telah menyatukan tiga beradik, bukan sahaja dalam sukan, malah dalam meniti cabaran hidup.

Menerusi tinju, mereka bukan sekadar berlatih bersama, bahkan saling menyokong dan mencabar satu sama lain untuk terus maju.

Noah Fithrie Nazri, 17 tahun, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, merupakan yang pertama menceburi dunia tinju ketika berusia sembilan tahun pada 2017.

Tidak lama kemudian, dalam tempoh dua tahun, adik-adiknya – Mikhail Armanie Nazri, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Ngee Ann, dan Khidir Irie Nazri, 13 tahun, dari Sekolah Menengah Damai – turut mengikuti jejaknya.

“Kami tertarik dengan bagaimana petinju mempertahankan diri. Ia sangat berguna, terutama dari segi keselamatan diri di luar gelanggang juga,” kata Noah.

Latihan bersama sebagai adik-beradik tentunya mencabar.

Namun, mereka sepakat bahawa hubungan kekeluargaan menjadi kekuatan utama.

“Kami saling bertukar teknik dan kemahiran. Bukan sentiasa serius, kadangkala kami bantu satu sama lain perbaiki pergerakan,” kongsi Noah.

Mikhail pula akui wujud unsur persaingan sesama mereka.

“Memang masing-masing nak jadi yang terbaik dalam keluarga,” katanya sambil ketawa.

Khidir, si bongsu, turut berkongsi bahawa sewaktu kecil, mereka pernah berlatih hingga menangis, tetapi ia tidak pernah menjadi isu peribadi.

Bagi Mikhail, detik yang mengubah pandangannya terhadap tinju datang sewaktu menyertai perlawanan sebenar buat kali pertama.

“Bila saya masuk perlawanan sebenar yang pertama, saya terus tahu saya nak teruskan dan jadi lebih baik,” katanya.

Kini, dengan semangat tinggi untuk terus maju, beliau menyusun masa dengan teliti supaya tidak mengabaikan tanggungjawab sekolah.

Ketetiga beradik menghayati nasihat jurulatih yang memberi impak besar dalam pembentukan disiplin dan gaya bertinju masing-masing.

“Kalau baju tak basah dengan peluh, maknanya tak cukup latihan,” kata Mikhail.

Bagi mereka, kejayaan bukan semata-mata menang di gelanggang.

“Kejayaan bermaksud buat yang terbaik, belajar daripada kesilapan, dan hormat orang lain,” tambah Khidir pula.

Mereka sepakat bahawa tinju telah membawa perubahan positif dalam kehidupan harian – bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga kawalan emosi dan tumpuan dalam pelajaran.

“Tinju bantu kami lebih tenang, lebih berdisiplin dalam kelas dan kehidupan,” ujar Noah

Mikhail juga melalui fasa sukar dalam hidupnya – pernah terlibat dengan pergaulan negatif.

Namun, melalui tinju, beliau menemui kembali arah hidupnya.

“Latihan tinju ajar kami hormat diri sendiri. Kami juga lebih rapat sebagai keluarga dan sedar bahawa hidup ada tujuan lebih besar,” kata Mikhail lagi.

Mereka turut mengubah bulatan sosial, dan mendapati komuniti di gim amat postif dan membantu keadaan mereka.

“Orang di gim baik-baik belaka. Mereka banyak bantu kami keluar dari berfikiran dan pergaulan negatif,” tambahnya.

Mereka sebulat suara mengiktiraf bapa mereka, Encik Nazri Yahya, sebagai individu penting yang mendorong mereka menyertai tinju.

Selain memberi sokongan moral, beliau turut mengajar teknik asas di rumah.

“Ada teknik yang ayah ajar kami, kami tak pernah belajar pun di gim,” kata Mikhail.

“Beliau juga ajar kami tentang keberanian – untuk bangkit bila menghadapi cabaran.”

Mereka kini giat membuat persiapan rapi – termasuk pengawalan berat badan dan latihan intensif di gim serta di rumah – demi satu matlamat utama: mewakili Singapura dalam sukan tinju.

“Kami memang serius. Untuk mewakili negara adalah impian kami bersama,” kata si Along, Noah.

Namun, mereka masing-masing mempunyai matlamat tersendiri juga.

Bagi Mikhail, selain menimba pengalaman sebagai petinju, beliau menyimpan impian untuk suatu hari nanti membimbing generasi muda.

“Saya memang nak bantu kanak-kanak lain suatu hari nanti, macam mana orang lain pernah bantu saya,” katanya.

Khidir pula berkata impiannya lebih ringkas namun penuh makna – beliau ingin membanggakan ibu bapanya.

Sebagai penutup, mereka meninggalkan pesanan buat rakan sebaya yang mungkin sedang bergelut atau baru ingin mencuba tinju.

“Tak kira bila, tak pernah terlambat nak mula. Mungkin anda sebenarnya hebat dalam tinju – cuba dulu,” kata Noah.

“Jangan takut gagal. Gagal tu maksudnya ‘Langkah pertama dalam proses pembelajaran.”

Khidir pula menekankan semangat mencuba.

“Cuba perkara baru. Cari apa yang menarik dan jangan putus asa,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg