Hanya dua minggu selepas bersalin, petinju profesional Efasha Kamarudin, 34 tahun, kembali ke gim untuk sambung latihan.
Efasha berkongsi bersama Berita Minggu bahawa beliau sudah biasa mengamalkan gaya hidup aktif, dan berasa perlu pergi ke gim kerana ia dapat membantu beliau menangani cabaran selepas bersalin.
“Saya tidak sarankan orang lain melakukan apa yang saya lakukan. Saya lakukannya untuk menjaga mental saya, melakukan perkara yang sudah biasa dilakukan,” katanya.
“Di Spartans (gym) kami mempunyai komuniti yang baik, jadi apabila kembali bergaul di situ terasa seperti bertemu semula rakan-rakan setelah sekian lama tidak jumpa.”
Sebagai seorang ibu bayi kecil, Efasha berkongsi bahawa antara cabarannya yang dihadapinya ialah kurang tidur, terutama apabila anaknya, Zahra Eve Harrison, yang berumur tujuh bulan, sakit dan memerlukan perhatian.
Efasha juga berkongsi bahawa sebagai petinju, masa yang beliau khususkan untuk anaknya agak terhad.
Namun, beliau percaya ini akan dapat memastikan bahawa anaknya tidak akan terlalu bergantung padanya.
Efasha berharap apabila Zahra besar, dia akan dapat melihat pengorbanan ibunya dan peri penting bekerja keras dan berdedikasi.
Dan jelas bahawa Zahra mempunyai seorang ibu yang boleh dijadikan teladan.
Menurut Efasha, semasa bertinju sebagai atlet amatur beliau menjadi juara kebangsaan Singapura dari 2015-2018.
Beliau juga petinju wanita pertama Singapura memenangi pingat emas dalam Piala Hong Kong City pada 2016.
Efasha menjadi petinju profesional pada 2018, dan kini memegang rekod lima menang, satu seri dan belum pernah dikalahkan.
Beliau mempunyai gelaran The Face kerana beliau berharap dapat menjadi wajah tinju wanita di Singapura.
“Apabila saya membesar, saya tidak mempunyai petinju wanita yang saya dapat contohi dan belajar... Saya harap melalui perjalanan saya, saya dapat membuka jalan bagi petinju wanita agar mereka sedar bahawa perjalanan ini tidak mustahil,” kata Efasha.
Menurutnya, semasa mula berkecimpung dalam sukan tinju, agak sukar baginya bertanding kerana kurang petinju wanita.
Efasha gembira masalah itu sudah ditangani kerana sekarang semakin ramai wanita terlibat dalam sukan itu.
Menurutnya, antara faktor yang membantu bertambahnya petinju wanita ialah bertambahnya gim tinju, yang membolehkan masyarakat tinju berkembang.
Dahulu pertandingan bagi sukan tinju wanita diadakan setahun sekali sahaja, tetapi sekarang ia dijalankan hampir tiap-tiap bulan.
Beliau juga berkongsi tentang cabaran yang dihadapi petinju profesional semasa pandemik Covid-19. Menurutnya, sekatan semasa pandemik itu memaksa petinju profesional menghentikan kerjaya mereka buat sementara.
Namun bagi Efasha, masa yang dihabiskan tanpa bertinju membantu beliau menemui semula semangat dan cintanya terhadap sukan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa itu beliau lalui latihan dan kegiatan sukan tersebut hanya sekadar menghabiskan masa tanpa hala tuju.
Melihat ke hadapan, Efasha menyasar mendapatkan gelaran juara dunia dalam lima tahun.
Bagaimanapun, beliau sedar akan cabaran besar yang perlu diatasinya untuk mencapai sasaran itu.
Justeru beliau merancang meraih kemenangan dalam pertandingan serantau dahulu sebelum mencuba mendapat gelaran tersebut.
Merenung perjalanannya sebagai seorang atlet, Efasha berasa dirinya sekarang berbeza daripada dahulu dari segi kemahiran dan cara berfikir.
“Jika diberi peluang, saya akan menasihatkan diri saya supaya tidak malu bertanya jurulatih,” kata Efasha.
“Apabila baru bermula, kita cenderung untuk ikut sahaja aliran dan cuba teka apa yang betul.”
Beliau menggalak mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini supaya meminta nasihat daripada jurulatih dan banyak meminta bantuan dan pandangan orang lain.
Menjadi juara memerlukan usaha keras dan pengaturan masa yang bijak, katanya.
Tinju adalah satu perjalanan mental yang panjang, kata beliau, dan seseorang itu tidak akan melihat perubahan atau peningkatan dengan segera.
Baginya, nasihat paling penting ialah sebagai seorang petinju, jangan pernah berputus asa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg